KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului persaingan merebut kerusi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pemilihan parti di Pulau Pinang yang dijalankan pada Sabtu lalu.

Beliau yang mempertahankan jawatan tersebut mendapat 3,326 undi berbanding pesaingnya Rafizi Ramli dengan 3,150 undi sekali gus mendahului dengan kelebihan 176 undi.
Melalui laman Twitternya semalam, Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli PKR Pulau Pinang yang mengundinya dalam saingan mempertahankan jawatan nombor dua dalam parti itu.
Bagaimanapun, pertandingan bagi jawatan utama lain tidak terlalu sengit.
Ahli PKR Pulau Pinang dilihat memilih individu yang rapat dengan Mohamed Azmin untuk tiga daripada empat jawatan Naib Presiden PKR selain jawatan Ketua dan Naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Ketua Wanita PKR.










