KUALA LUMPUR 15 Sept. – Pakatan Harapan (PH) kini dipercayai dalam keadaan resah dan kelam kabut apabila Pas dan UMNO bekerjasama, sekali gus merugikan PH.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan mendakwa, komponen PH mula menyerang dan memfitnah kononnya Pas telah lari daripada dasar perjuangan asal apabila bekerjasama dengan UMNO.
“Persoalannya, Pas yang bekerjasama dengan UMNO, kenapa mereka pula yang resah dan kelam kabut? Bukankah mereka mahu mengalahkan Pas dan menawan Kelantan serta Terengganu? Jika kerjasama Pas dan UMNO merugikan Pas, sepatutnya mereka menyokong usaha kerjasama ini.
“Mereka dilanda resah, justeru kerjasama ini merugikan mereka, bukan Pas. Sementelah PH hari ini sedang bergolak dan hubungan parti-parti komponen mereka tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meramalkan gabungan baharu pakatan pembangkang yang turut disertai UMNO akan mengubah senario politik negara.
Menurut Nasrudin, perkembangan terbaharu melibatkan UMNO dan Pas itu adalah hikmah yang sangat besar kepada politik negara.
“Pendekatan terbaharu Pas dengan konsep ta’awun siasi (kerjasama politik) bersama UMNO dan merealisasikan politik dakwah dalam gerak kerja politiknya adalah berpaksi kepada tuntutan Islam yang selama ini menjadi dasar Pas,” katanya.
Tambahnya, politik dakwah menjadikan Pas bersikap terbuka kepada semua pihak, individu dan parti yang mahu mendekati dan bekerjasama dengan parti itu.










