KOTA BHARU 18 Sept. – Lebih 50 peratus iaitu 20 daripada 37 buah penjara di negara ini sesak dengan jumlah keseluruhan banduan setakat ini 61,000 orang.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, sebahagian penjara mengalami lebihan kapasiti antara 40 sehingga 50 peratus daripada sepatutnya manakala Penjara Pengkalan Chepa adalah yang paling sesak dengan jumlah banduan lebih 2,900 orang iaitu sekali ganda melebihi kapasiti asal.
Beliau berkata, peruntukan diperlukan untuk membina bangunan tambahan bagi mengatasi masalah ini terutamanya di Penjara Pengkalan Chepa.
“Sebahagian penjara moden seperti Penjara Sungai Buloh, Kajang dan Sungai Udang tiada kesesakan teruk kerana binaannya berkonsep sel dengan keselamatan lebih baik tetapi Penjara Pengkalan Chepa berkonsep terbuka seperti dormitori kerana ia bangunan lama yang wujud sejak 1950-an.
“Kita sedang mengusahakan untuk mendapat peruntukan khas bagi menambahbaik keadaan, walaupun banduan dihukum kerana kesalahan tetapi kasihanilah mereka kerana kita perlu jaga hak asasi sebagai manusia,” katanya.
Beliau ditemui di program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur 2018 ‘Membendung Perlakuan dan Pengulangan Jenayah’ di Dewan Keusahawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Program anjuran Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) negeri dan UMK itu dihadiri lebih 500 peserta.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan; Pengerusi YPJM negeri, Datuk Abd Aziz Nawi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr Zaliman Sauli. – UTUSAN ONLINE










