KAJANG – Seramai 16 penumpang dan seorang pemandu bas nyaris maut apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur dari Johor Bahru di Kilometer 300 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, pemandu dan penumpangnya sempat menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu kecemasan di bahagian belakang bas selepas bahagian hadapan bas tersebut terbakar secara tiba-tiba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, Rosman Majid berkata, pemandu bas tersebut bertindak pantas dengan mengarahkan kesemua penumpangnya menyelamatkan diri selepas menyedari bahagian hadapan bas berasap dan mula mengeluarkan api.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.58 pagi dan seramai 10 anggota berserta dua jentera dan sebuah kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dikejarkan ke lokasi kejadian untuk tindakan susulan.
“Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati bas tersebut sudah terbakar sepenuhnya dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 25 minit bagi memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Beliau menambah, pemandu bas dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka telah dibawa ke destinasi seterusnya oleh sebuah bas ekspres lain.
“Semasa anggota bomba sampai ke lokasi kejadian, pemandu berkenaan sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api tetapi tidak berjaya.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba,” ujarnya. – K! ONLINE











