KANGAR 16 Sept. – Setelah mengharungi pelbagai liku dan cabaran selama 26 hari termasuk dimaki hamun sebagai orang gila dan dilempar sampah, pengembara dua beranak yang berjalan kaki dari Johor sejauh 1,400 kilometer, akhirnya berjaya menamatkan misi mereka di sini, malam tadi.
Pekerja buruh, R. Ragu, 43, seorang yang buta huruf dan anaknya, R. Surya, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael, Ipoh, Perak, tiba di Dataran Keris yang menjadi mercu tanda pusat bandar ini, tepat pukul 12 tengah malam.
Ketibaan dua beranak yang berasal dari Ipoh, Perak, itu disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Ragu ketika ditemui melahirkan rasa puas setelah berjaya menyelesaikan misi mengembara yang kali kelima diadakan sempena menyambut Hari Malaysia, bermula dari Balai Polis Danga Bay.
“Walaupun keletihan tetapi saya dapat merasa satu kepuasan untuk diri sendiri dan memberi makna mendalam dalam diri sempena menyambut Hari Malaysia,” katanya.
Surya pula ketika menceritakan pengalamannya memberitahu, dia hampir-hampir ingin melupakan misi itu kerana otot kakinya tegang dan kesakitan pada hari pertama misi, setelah berjalan sejauh kira-kira 20 kilometer.
Katanya, selepas diberi semangat oleh bapanya itu dan diberikan rawatan ringan, dia kemudian meneruskan perjalanan sehingga tamat.
Dalam pada itu, Ay Ling berkata, masyarakat harus mencontohi sikap dua beranak berkenaan yang mengambil pendekatan berbeza untuk menunjukkan rasa sayang kepada negara.
“Ini juga seolah-olah satu pengorbanan seperti mana yang dilakukan oleh tokoh-tokoh pejuang negara sebelum ini bagi mendapatkan kemerdekaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










