KUALA LUMPUR 16 Sept. – Seorang wanita yang sesat selepas mendaki Bukit Broga, Semenyih dekat sini semalam ditemukan selamat sebentar tadi.
Mangsa, Teoh Kim Ling, 38, yang dikatakan mula mendaki bukit berkenaan pada pukul 10.30 pagi ditemukan pada pukul 9 pagi tadi selepas operasi menyelamat dilakukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Penolong Penguasa Bomba Zainal Elias Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat daripada kakak mangsa yang memaklumkan mangsa telah mendaki Bukit Broga sebagai aktiviti hujung minggu namun dikhuatiri sesat kerana masih belum pulang ke rumah sehingga petang semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan di lokasi kira-kira pukul 3 petang dengan dibantu oleh pihak polis. Mangsa ditemukan pada pukul 9 pagi ini dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










