JOHOR BAHRU – Dua pembuli jalan raya sedang diburu polis selepas disyaki menikam dan memukul seorang pegawai pemasaran yang memandu kereta mewah jenis Ferrari dalam kejadian di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini pada Ahad lalu.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan pada lengan sebelah kiri, perut dan badan selain mengalami kesakitan kepala.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta jenis Ferrari seorang diri dan insiden itu dipercayai berpunca disebabkan mangsa membunyikan hon kereta.
“Sewaktu melalui kawasan kejadian, datang sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam dari arah bahu kiri jalan sebelum masuk ke hadapan laluan kereta dipandu mangsa.
“Mangsa kemudian telah membunyikan hon sebelum dua suspek berkenaan keluar daripada kenderaan mereka dan mengarahkan mangsa untuk turut keluar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurur Shahurinain, sebaik mangsa keluar daripada keretanya, seorang suspek dipercayai warga tempatan bertindak mengeluarkan pisau lipat lalu menikam beberapa kali pada perut, tangan dan beberapa anggota badan mangsa. – K! ONLINE










