Peluang Malaysia belum berakhir - Utusan Malaysia

Peluang Malaysia belum berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGENDALI skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim menegaskan, perjuangan pasukannya untuk mara ke saingan suku akhir belum berakhir meskipun bakal berdepan laluan sukar selepas tewas 2-4 kepada Thailand pada aksi kedua Kumpulan A Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Selepas tewas kepada skuad kendalian Thongchai Rungreangleas itu, Malaysia perlu berdepan laluan berliku menentang Jepun esok bagi merintis laluan ke suku akhir selepas pa­sukan negara Matahari Terbit itu terikat seri tanpa jaringan dengan Tajikistan di Stadium Arena Universiti Malaya.

Bagaimanapun, bekas Pembantu Jurulatih (B-19) Bayern Munich itu tetap percaya akan kemampuan para pemainnya untuk melakukan kejutan pada aksi terakhir kumpulan walaupun kehilangan tonggak utama­nya, Luqman Hakim Shamsudin yang dilayangkan kad merah kelmarin.

“Semuanya belum berakhir kerana saya yakin kepada semua pemain dan mereka masih ada peluang untuk aksi terakhir menentang Jepun.

“Saya menganggap pemain saya sebagai pahlawan, cuma berasakan aksi kedua ketika berdepan Thailand bukan nasib kami apabila tewas.

“Saya yakin dengan semua pemain kerana mereka menunjukkan gandingan sangat baik, sekali gus melakukan kebangkitan.

“Meskipun kehilangan Luqman untuk aksi seterusnya, namun kami tetap mempunyai ramai lagi pemain untuk me­ngisi kekosongan tersebut dan ia tidak menjadi masalah kepada pasukan,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Teong Kim juga berasakan ia merupakan peluang terbaik kepada pemain lain untuk me­nunjukkan kemampuan sebenar apabila turun menggantikan tempat Luqman esok.

“Kami mempunyai ramai pemain yang boleh beraksi di bahagian serangan kerana kami merupakan sebuah pasukan besar. Ia adalah peluang kepada pemain lain untuk bermain ke­rana mereka juga mampu beraksi baik untuk posisi tersebut,” ujarnya.

Setelah selesai perlawanan kedua Kumpulan A kelmarin, Malaysia kekal dengan tiga mata hasil kemenangan 6-2 ke atas Tajikistan dan berada di kedudukan ketiga sementara Thailand yang mengumpul jumlah mata yang sama kini berada di tangga kedua.

Malaysia mempunyai misi wajib menang ke atas Jepun pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok untuk mara ke peringkat suku akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN