TANGGAL 10 September 1910 merupakan detik menggembirakan bagi pasangan suami isteri yang menetap di Kansas City, Missouri, Amerika Syarikat, Annie dan Leonard Johnson apabila seorang bayi perempuan yang diberi nama Dorothy Vaughan Johnson dilahirkan ke dunia.
Kelahiran bayi itu bukan sahaja membahagikan keluarga kecil tersebut, malah seluruh warga kulit hitam apabila Dorothy berjaya mengangkat martabat masyarakat kulit hitam di mata dunia selepas menjadi wanita kulit hitam pertama yang bekerja di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Kepakaran yang dimiliki wanita itu dalam bidang memprogram komputer menjadikan formulanya diguna pakai sehingga ke hari ini.
Lebih membanggakan apabila pada tahun 2016, seorang penulis, Margot Lee Shettery telah menulis sebuah buku mengisahkan kehidupannya yang berjudul Hidden Figures: The American Dream and the Untold Story of the Black Women Mathematicians Who Helped Win the Space Race.
Guru matematik
Menurut Dorothy, sebaik sahaja menamatkan pengajian di sekolah tinggi, dia mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Wilberforce University, Ohio, Amerika Syarikat dalam jurusan Matematik.
Kepintaran yang dimilikinya telah menyebabkan Dorothy berjaya mendapat tajaan penuh sepanjang menuntut di situ.
“Selepas menamatkan pengajian di universiti tersebut pada tahun 1929, saya berkahwin dengan Howard S. Vaughan dan mengambil keputusan untuk bekerja sebagai seorang guru Matematik di Virginia.
“Ketika itu, saya telah berjanji untuk mengabadikan diri sebagai guru Matematik sepanjang hidup, namun Perang Dunia Kedua pada tahun 1943 telah mengubah kehidupan saya,” jelasnya.
Menurut Dorothy, biarpun ketika itu tawaran pekerjaan yang diterima di NASA Langley Memorial Aeronautical Laboratory hanya sementara, namun dia sanggup merisikokan masa depannya dengan berhenti menjadi guru.
Pasukan komputer
Bagaimanapun, tindakan yang diambilnya itu adalah satu langkah yang tepat apabila dia akhirnya menjadi ‘bintang’ di NASA dan digelar sebagai ‘manusia komputer’ sehingga bersara pada tahun 1971.
“Bermula sebagai pekerja sementara, saya dinaikkan pangkat untuk mengetuai Bahagian Komputer Barat pada 1949 dan menjadi wanita kulit hitam pertama yang dilantik serta memegang jawatan tersebut dalam sejarah NASA.
“Saya tidak sangka dipertanggungjawabkan untuk menggalas jawatan tersebut seawal itu lebih-lebih lagi dalam ruang kerja yang individu kulit hitam sering disisih dan ditindas oleh golongan kulit putih,” jelasnya.
Walaupun pada tahun 1958 NASA telah menggunakan komputer elektronik bagi menggantikan tenaga manusia, namun Dorothy masih mengekalkan jawatan nya di Bahagian Analisis dan Pengiraan.
“Sebelum komputer elektronik digunakan, mereka jadikan pasukan saya sebagai komputer untuk membuat kiraan matematik.
“Bagaimanapun, sebaik ia diperkenalkan, kami mencabar diri untuk mempelajari cara memprogramkan komputer untuk membaca, mengira dan merancang data bagi kegunaan terowong angin Langley serta untuk bahagian penyelidikan yang lain,” jelasnya.
Biarpun begitu, kejayaan Dorothy terus bersinar dan tetap digelar manusia komputer dalam kalangan pekerja NASA.
Kebijaksanaannya dalam menyelesaikan pengiraan matematik menyumbang kepada kejayaan penyelidikan aeronautik dan aeroangkasa di makmal dari pertengahan tahun 1930-an hingga 1970-an.
Dorothy bagaimanapun menghembuskan nafas yang terakhir pada 10 November 2008.
Biarpun Dorothy sudah 10 tahun meninggal dunia, namun namanya masih lagi disebut-sebut oleh masyarakat dunia sehingga ke hari ini.











