PARIT BUNTAR – Seorang pekerja kilang kertas terpaksa menahan kesakitan selama lebih setengah jam apabila tangan kanannya tersepit di mesin penggelek kertas dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Perusahaan 3, Taman Krian di sini petang tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Abdul Talib Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak kilang pada pukul 4.13 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Tiba di tempat kejadian, anggota mendapati pergelangan tangan pekerja berusia 48 tahun itu masih tersepit di mesin penggelek tersebut dan mangsa sedang menahan kesakitan.
“Beberapa juruteknik kilang berusaha mengeluarkan tangan mangsa sebelum itu namun usaha mereka tidak berhasil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Abdul Talib, anggota bertindak membuka penutup mesin dan meregangkan bahagian penggelek mesin tersebut menggunakan peralatan khas sehingga tangan mangsa berjaya ditarik keluar.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan yang hadir sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.50 petang,” katanya. – K! ONLINE











