PDRM disyor proaktif sampaikan maklumat kepada umum, jenayah terkini - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

PDRM disyor proaktif sampaikan maklumat kepada umum, jenayah terkini – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 25 Sept. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mengesyorkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih proaktif menyampaikan maklumat kepada umum tentang bentuk-bentuk jenayah terkini.

Titah baginda, seiring dengan perkembangan semasa, jenayah juga turut berubah dan semakin mencabar.

“Justeru, PDRM hendaklah memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang bentuk-bentuk jenayah masa kini itu dan panduan pencegahannya,” titah baginda.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menerima kunjungan menghadap perpisahan oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, dekat sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mengiringi Azisman ialah Timbalannya, Asisten Komisioner Md. Zamri Mat Zanu.

Azisman bakal bertukar ke jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Tarikh serah terima tugas beliau kepada Ketua Polis Perlis yang baharu iaitu Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Muhammad ialah pada 1 Oktober ini.

Untuk rekod, Azisman juga adalah salah seorang ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sepanjang penugasan beliau di negeri ini yang dipengerusikan oleh baginda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN