MARANG 26 Sept. – Pas percaya keputusan untuk tidak mengikut jejak langkah Barisan Nasional (BN) yang memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan itu sekali gus membuktikan tidak wujud kerjasama antara Pas dan BN/UMNO sebagai satu gabungan.
“Kita tidak sependapat dengan UMNO. Dengan sendiri apabila UMNO tidak setuju dan kita setuju maknanya tidak ada kerjasama.
“Kita parti berasingan, kita hanya kerjasama dan bukan gabungan. Tetapi kita terima siapa sahaja nak bantu kita berkempen, kita ajak UMNO termasuk DAP, terpulang kepada mereka,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Paa Negeri Mustaffar Daharum.
BN sebelum ini memutuskan akan memboikot PRK Parlimen Port Dickson selepas rundingan mengenainya mendapat persetujuan bersama dengan MIC dan MCA.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut juga sejajar dengan situasi kerajaan ketika ini yang didakwa dihimpit masalah kewangan yang serius.
Selain PKR, Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut mengesahkan akan meletakkan calon bertanding di PRK berkenaan di samping personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong yang turut menawarkan diri.- UTUSAN ONLINE










