MARANG 26 Sept. – Pas mengotakan janjinya untuk tidak membiarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerusi Parlimen Port Dickson tanpa dicabar dengan mengumumkan akan meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijangka diadakan pada 13 Oktober depan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dicapai berdasarkan rundingan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikan beliau malam ini.
Katanya, sebagai parti yang mendukung demokrasi, Pas mahu rakyat diberi sepenuh peluang untuk memilih dalam PRK berkenaan.
“Setelah kami mendengar laporan dan maklumat daripada jawatankuasa pilihan raya, dengqn mengambil kira semua pandangan itu kita bersetuju untuk bertanding.
“Kita mahu menghidupkan demokrasi walaupun kita tidak bersetuju ia dibuat tergesa-gesa tetapi kita tidak boleh mematikan demokrasi. Kita tidak mahu membazir tanpa kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Paa Negeri Mustaffar Daharum.
Menurut Abdul Hadi, Pas akan menampilkan tokoh yang sepadan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi Parlimen itu.
Katanya, calon berkenaan akan diumumkan parti malam esok di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pas membuat ketetapan itu setelah UMNO dan Barisan Nasional yang awalnya dijangka membawa cabaran pembangkang memutuskan untuk memboikot PRK itu kerana kekosongan kerusi itu tidak menghormati lunas demokrasi dan semata-mata bagi memenuhi cita-cita politik Anwar.-UTUSAN ONLINE










