TEBING BARAT 27 Sept. – Palestin menolak komen dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyokong penyelesaian penubuhan dua negara bagi Palestin dan Israel dengan menyifatkan dasar diamalkan Washington ketika ini memusnahkan sebarang harapan damai.
Ini berikutan kenyataan Trump menyokong langkah penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israek sejak sekian lama semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Al-Jazeera melaporkan, ia merupakan kali pertama Trump menyokong cadangan penubuhan dua negara sebagai jalan terbaik menyelesaikan konflik Asia Barat sejak Pre-siden itu mengangkat sumpah jawatan.
Duta Palestin ke Washington, Husam Zomlot mengecam komen yang dibuat Presiden AS itu.
“Kata-kata mereka bertentangan dengan tindakan yang diambil dan ia amat jelas memusnahkan kemungkinan penyelesaian penubuhan dua negara,” kata Zumlot.
Trump berkata, beliau mahu mendedahkan butiran penyelesaian apa yang didakwanya sebagai perjanjian abad ini bagi menyelesaikan konflik Asia Barat dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Berdasarkan laporan media, cadangan itu akan menghalang kepulangan lebih lima juta pelarian Palestin dan membuang status Baitulmuqaddis daripada rundingan damai.
“Saya suka akan penyelesaian dua negara, ia apa yang saya fikirkan berfungsi de-ngan baik, ini perasaan saya,” kata Trump.
Dalam pada itu, jurucakap kepada Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh berkata, Trump perlu mengotakan apa yang dikatakannya.
“Sebagai reaksi kepada ucapan Trump tentang penubuhan dua negara, penyelesaian dua negara bermakna kami akan memiliki sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara kami.
“Ini sahaja cara untuk mencapai proses perdamaian,” kata beliau.
Dalam perkembangan bera-singan, golongan fanatik Yahudi, hari ini memperhebatkan provokasi mereka terhadap penduduk Palestin di Kota Lama Baitulmuqaddis dan umat Islam di dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa.
Menurut saksi, penduduk Palestin di Kota Lama bersemuka dengan kumpulan pelampau Yahudi yang cuba bersembahyang di luar beberapa pintu menuju Masjid Al-Aqsa ketika ratusan etnik itu memasuki perkarangan tanah suci itu dari Magharbeh Gate seperti mana lawatan harian ke lokasi tersebut.
Polis Israel kemudiannya dikerah dengan melepaskan bom tangan pegun ke arah penduduk Palestin di luar pintu masjid.











