PUTRAJAYA 15 Sept. – Orang Melayu masih belum terdedah sepenuhnya dengan potensi pelaburan saham apabila hanya empat peratus daripada 100,000 pelabur aktif Bursa Malaysia terdiri daripada kaum tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Hermana Capital Berhad, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, lebih menyedihkan apabila 95 peratus pelabur saham yang mempunyai akaun di Bursa Malaysia bukan terdiri daripada kaum Melayu.
Beliau menjelaskan, perkara itu terjadi disebabkan kurangnya pendedahan dan pendidikan mengenai pelaburan saham.
“Selain itu, orang Melayu dilihat selesa dengan kehidupan masing-masing sedangkan mereka perlu mencari potensi lain untuk menambah pendapatan.
“Sedangkan saham mempunyai potensi besar untuk ditembusi memandangkan nilai pelaburannya kini mencecah AS$30 trilion, malah 70 peratus daripada 100,000 saham di peringkat global adalah patuh syariah, jadi mereka tidak perlu risau berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran ‘Dari Malaysia Ke Wall Street’ yang merupakan buku hasil tulisannya, di sini hari ini.
Pada masa sama, Nazri Khan menjelaskan, orang Melayu hanya perlu diberikan sedikit pendedahan berhubung pelaburan saham agar mereka lebih bersedia untuk menembusi peluang tersebut.
“Hanya modal serendah RM10 dan dibantu dengan telefon bimbit, mereka boleh melabur terhadap mana-mana pasaran saham antaranya seperti Amazon.Com, Ali Baba dan Tesla,” katanya. – UTUSAN ONLINE










