PASIR PUTEH 26 Sept. – Sejumlah 216 iklan pinjaman wang tidak berdaftar ‘ah long’ yang ditampal secara haram di sekitar daerah ini berjaya dimusnahkan menerusi Op Vulture yang dilaksanakan pihak berkuasa semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, operasi tersebut merupakan siri kedua dan dibuat secara bersepadu melibatkan pihaknya dengan anggota penguat kuasa Majlis Daerah Pasir Puteh (MPP)
Menurutnya, walaupun belum ada kes serius, polis tetap mengambil langkah yang proaktif dalam mengekang kempen dan iklan yang disebarkan bagi melindungi orang awam daripada menjadi mangsa hutang syarikat pinjaman tidak berdaftar.
“Iklan ‘ah long’ yang ditampal di merata-rata tempat di daerah ini termasuk di kawasan kampung akan menarik minat orang ramai yang kesempitan wang untuk berhutang tanpa menghirau bebanan faedah yang tinggi.
“Tindakan awal kita ini sekurang-kurangnya dapat mengelak mereka berurusan dengan ‘ah long’, sekali gus mengelak perkara lebih buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Abdul Rozak berkata, Op Vulture Siri 2/2018 dijayakan dengan kekuatan 25 anggota polis dan penguat kuasa MDPP itu bermula pukul 9 pagi semalam
Menurutnya, iklan dalam bentuk ‘bunting’ dan poster yang dirampas kemudiannya dimusnahkan di kawasan pembakaran sampah di Semerak.










