KUALA TERENGGANU – Perbuatan tidak bermoral seorang ibu tunggal yang cuba melacurkan diri di sebuah bilik hotel di sini dua minggu lalu membawa padah apabila dia dihukum penjara enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini semalam.
Hakim Syarie Rosdi Harun memutuskan demikian selepas pencanting batik sambilan berusia 30 tahun tersebut mengekalkan pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan dan beliau memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan selepas berakhirnya tempoh rayuan selama 14 hari.
“Pengakuan bersalah tertuduh didapati dilakukan secara sukarela setelah saya telah bertanyakan kepadanya sebanyak tiga kali.
“Alasan terpaksa melacurkan diri kerana diceraikan suami tanpa nafkah tidak dapat diterima. Dua pekerjaan (jurujual pasar raya dan pencanting batik) dilakukannya dan latar belakangnya menetap di Kota Bahru (Kelantan) dengan kos sara hidup tidak tinggi sudah mencukupi untuk menyara diri dan anak,” katanya ketika membacakan penghakimannya.











