Mengamuk kerana bapa tidak beri duit beli dadah - Utusan Malaysia

Mengamuk kerana bapa tidak beri duit beli dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 15 Sept. – Gara-gara tidak mendapat duit yang diminta untuk membeli dadah daripada bapanya, seorang lelaki bertindak memecahkan kesemua cermin tingkap rumahnya dengan menggunakan kerusi plastik di Kampung Lubuk Kawah, Jitra semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suspek berusia 27 tahun tersebut dipercayai bertengkar terlebih dahulu dengan bapanya sebelum mengamuk dan bertindak memecahkan kesemua cermin di rumah setingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek pergi ke rumah abang iparnya untuk menghantar barang sebelum berjumpa bapanya yang tinggal berhampiran untuk meminta wang.

“Keengganan mangsa memberi wang menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka. Suspek kemudian bertindak memecahkan kesemua cermin tingkat di rumah bapanya itu.

“Selepas itu, suspek beredar dengan menunggang motosikal miliknya. Bagaimanapun, kembali ke rumah tersebut 10 minit kemudian untuk mengambil tong gas untuk dijual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ismail, abang ipar suspek kemudian membuat laporan polis kerana sudah beberapa kali suspek bertindak agresif apabila tidak mendapat wang untuk membeli dadah.

Tambahnya, pihaknya kini sedang mengesan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN