OTTAWA 12 Sept. – Malaysia kekal optimis bahawa perbincangan bagi memansuhkan keperluan visa terhadap rakyat Malaysia yang ingin ke Kanada akan diteruskan memandangkan kini terdapat minat baharu untuk meningkatkan hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.
Ketika menzahirkan keyakinan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada yang bakal berundur, Datuk Aminahtun Karim Shaharudin (gambar) berkata, terdapat keperluan untuk memudah serta membangunkan pertukaran rakyat kepada rakyat dengan lebih lanjut selain menarik minat rakyat Malaysia ke negara itu dan mempromosi perdagangan serta pengetahuan dalam bidang teknologi.
“Tidak terdapat masalah rumit antara kedua-dua negara melainkan satu sahaja isu yang belum selesai, rakyat Malaysia perlu mendapatkan visa untuk datang ke Kanada dan kita ingin melihat syarat itu dimansuhkan,’’ katanya sambil menambah bahawa meskipun isu itu telah dibincangkan di peringkat menteri, ia akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.
Dalam temu bual dengan Bernama, Aminahtun berkata, agenda perubahan yang dibawa Kerajaan Pakatan Harapan ketika ini untuk menjadikan Malaysia lebih terbuka dan inklusif adalah senada dengan pendirian serta nilai yang dipegang oleh Kanada selain mendekatkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Aminahtun yang berpengalaman selama 36 tahun sebagai diplomat dan menjadi duta ke Kanada sejak awal 2016, berkata, memandangkan visa adalah satu isu berkaitan kedaulatan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia untuk terus membangkitkan perkara itu dengan pihak Kanada yang mengenakan syarat tersebut selepas tragedi 11 Sept 2001.
Meskipun begitu, beliau berkata, terdapat penambahbaikan dalam isu itu kerana rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan visa ke Kanada dengan lebih cepat kerana tempoh pemprosesan yang sebelum ini mengambil masa enam minggu telah dikurangkan kepada kira-kira tiga minggu.
“Saya boleh menyatakan bahawa kita telah mencapai beberapa kejayaan dalam hal isu ini,’’ kata Aminahtun sambil menambah bahawa terdapat rakyat sesetengah negara lain yang terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan visa ke Kanada.
Dalam pada itu, beliau turut bersimpati kesulitan yang terpaksa ditempuhi pelajar Malaysia dan ibu bapa mereka serta ahli perniagaan disebabkan oleh isu visa.










