PUTRAJAYA – Malaysia dan China mahu memperluaskan kerjasama dalam sektor pendidikan khususnya bidang pengajian Islam, kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Maszlee yang sedang dalam lawatan kerja empat hari ke China berkata dalam pertemuan dengan Pengerusi Dewan Perniagaan Halal Shanxi, Tie Qunping mencadangkan agar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuka cawangan di wilayah Xian, China termasuk sekolah Islam antarabangsa untuk pengajian awal.
Beliau berkata, Xian sahaja mempunyai lebih 300,000 penduduk beragama Islam dan berjuta lagi di wilayah Shanxi dan lima wilayah yang lain sekitarnya.
“Malaysia mempunyai reputasi sebagai negara Islam sederhana dan tidak mempromosi ideologi radikal. Kerajaan China lebih selesa rakyatnya yang beragama Islam belajar di Malaysia berbanding negara-negara Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Maszlee mencadangkan agar China menghantar pelajarnya ke Malaysia dan Kementerian Pendidikan sedia melakukan segala yang perlu bagi memperoleh pendidikan Islam dan bidang-bidang lain berkualiti di Malaysia. – Bernama










