KUALA LUMPUR 24 Sept. – Sudah lama reda. Itu respons penyanyi, Deja Moss apabila ditanya hari ini mengenai keadaannya yang jauh lebih tenang pada prosiding permohonan cerai oleh suaminya berbanding sebelum ini.
Malah pelantun lagu Asmara Ini itu juga memberitahu, dia sudah menjangkakan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik sebelum ini tidak akan berpihak kepadanya berdasarkan situasi sewaktu pertemuan wakil-wakil pihaknya dan suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad sekali gus menandakan perkahwinannya tidak lagi boleh diselamatkan.
“Saya dah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Saya sendiri sudah lama reda dengan keadaan ini dan apa yang akan berlaku tetapi apa membuatkan saya terkilan ialah dia masih belum hendak berterus terang kenapa saya hendak dilepaskan,” katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding kes itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini.
Terdahulu, Hakim Syarie Noranizan Mohd. Sufian memutuskan tiada apa lagi yang mendamaikan dalam perkahwinan pasangan terbabit dan telah wujud shiqaq (perbalahan berpanjangan) dalam kalangan mereka.
“Ini merupakan kes permohonan untuk bercerai yang difailkan oleh suami. Selepas meneliti laporan JKP, mahkamah mendapati jawatankuasa gagal mencari sesuatu yang boleh mendamaikan pihak-pihak terlibat. Mahkamah mensabitkan telah berlakunya shiqaq dan membenarkan permohonan plaintif yang dibuat mengikut Seksyen 47(14) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya.
Hakim syarie itu turut menolak permohonan peguam syarie Halimatunsa’diah Abu Ahmad yang mewakili penyanyi tersebut agar kes berkenaan menjalani proses hakam terlebih dahulu sebelum diteruskan dengan lafaz cerai.
Hakam merupakan satu proses apabila suami dan isteri melantik wakil diri masing-masing setelah JKP gagal menyelesaikan krisis yang dihadapi pasangan itu dan hakam turut diberikan kuasa penuh untuk membuat keputusan sama ada untuk melafazkan talak atau menerima tebus talak jika ia merupakan wakil bagi suami manakala wakil bagi isteri berkuasa untuk menerima talak dan membayar tebus talak.
Beliau bagaimanapun menetapkan 24 Oktober ini untuk Azfendy, 39, melafazkan cerai terhadap isteri yang dinikahinya sejak 30 Ogos 2008 ekoran Deja atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, 45, berada dalam keadaan tidak suci hari ini.










