Lorenzo paling pantas di Aragon - Utusan Malaysia

Lorenzo paling pantas di Aragon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAGON, Sepanyol – Pelumba Ducati, Jorge Lorenzo berjaya meraih petak pertama perlumbaan Grand Prix (GP) Aragon selepas melakukan catatan masa terpantas pada sesi kelayakan yang berlangsung di Litar Motorland malam tadi.

Juara tiga kali MotoGP itu memecut laju untuk merekodkan catatan terpantas 1 minit 46.881s saat, sekali gus membolehkannya meraih petak pertama buat kali ketiga berturut-turut.

Lebih manis, pelumba sensasi Sepanyol itu merampas kedudukan petak pertama pada saat akhir setelah memintas catatan masa rakan sepasukannya, Andrea Dovizioso yang mencatatkan 1:46.895s.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengulas mengenai persai­ngannya di pusingan terakhir itu, Lorenzo mengakui agak sukar untuknya melakukan catatan masa terpantas berikutan terpaksa bersaing dalam kelompok besar apabila pelumba-pelumba lain juga cuba mencari catatan masa terbaik di pusingan terakhir sebelum itu.

“Saya sedar jika tidak memperbaiki catatan masa, berkemungkinan akan memulakan perlumbaan di barisan kedua. Jadi, saya terus berusaha memecut laju.

“Saya juga terpaksa bergelut dengan keadaan tayar yang semakin hilang cengkaman selepas melakukan tiga pusingan.

“Pada pusingan terakhir juga, saya tidak selesa untuk memecut laju kerana pelumba lain juga bersaing dalam kelompok sama, keadaan trafik di litar agak tidak menyenangkan saya.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik apabila mereka memecut, sekali gus memberikan ruang kepada saya. Namun, masih timbul kesukaran memandangkan tayar sudah semakin haus,” katanya.

Sementara itu, pelumba Repsol Honda, Marq Marquez terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga selepas melakukan catatan 1:46.950s selepas dia melakukan kesilapan pada selekoh ke-12 di pusingan terakhir sekali gus ketinggalan dengan dua pelumba Ducati berkenaan.

Malang terus menimpa ja­guh MotoGP dari Itali, Valentino Rossi yang akan memulakan perlumbaan di petak ke-18, sekali gus membuktikan bahawa jenteranya kini berdepan masalah pe­cutan yang agak serius ekoran kegagalan sistem elektronik. 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini