‘Lidah jahat’ jadi sasaran pengganas - Utusan Malaysia

‘Lidah jahat’ jadi sasaran pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
PASUKAN keselamatan Malaysia berjaya menahan beberapa anggota kumpulan pengganas yang merancang mengadakan serangan bom di Pulau Pinang di samping latihan pengeboman di Melaka baru-baru ini.

Berdasarkan maklumat yang didedahkan kepada media tempatan, anggota kumpulan ekstremis itu terdiri daripada warga Thailand dan Malaysia.

Namun, apa yang membimbangkan adalah sasaran dipercayai kawasan ramai orang bukan Melayu dan motif serangan mungkin susulan pelbagai kenyataan melampau menghina Islam sejak kebelakangan ini.

Sudah ramai menegur ahli politik mahupun aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang galak mempersenda dan mencabar kedaulatan Islam.

Sekalipun majoriti penduduk Islam Malaysia bukannya ekstremis, hanya satu atau dua orang manusia sudah cukup untuk menimbulkan huru-hara terutama sekali mereka yang mempunyai masalah mental.

Kajian telah membuktikan ramai rakyat Malaysia yang mengalami tekanan mahupun masalah mental tetapi tidak mendapat rawatan sewajarnya. Mereka ini sasaran mudah untuk direkrut kumpulan pengganas.

Pentadbiran baharu negara yang dilihat tidak menghalang kenyataan melampau malah campur tangan dalam hal ehwal orang Islam menjadi penyumbang utama fahaman pelampau semakin membuak.

Ditambah rancangan memansuhkan perundangan menyekat kegiatan pengganas sementara NGO bukan Islam mahupun liberal mengganggu gugat perihal umat Islam, masalah fahaman pelampau semakin meruncing.

Sekalipun pasukan keselamatan dan risikan Malaysia antara yang terbaik di dunia, adalah lebih baik semua pihak jaga ‘lidah’ sendiri sebagai langkah pencegahan sebelum nasi menjadi bubur.

ANAK POLIS

Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN