Lelaki ditahan bersama 1.3kg dadah - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan bersama 1.3kg dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 27 Sept. – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan merampas dadah jenis heroin dan methamphetamine seberat 1,346 gram setelah menyerbu sebuah rumah di Simpang, di sini semalam.

Serbuan pada pukul 6.45 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, pemeriksaan di rumah sewa suspek berusia 24 tahun itu menjumpai tiga beg plastik hitam yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 1,311 gram dan empat paket plastik lutsinar berisi 35 gram methamphetamine.

“Siasatan mendapati suspek masih bujang dan tinggal bersama ibunya namun menyewa rumah lain yang dipercayai bertujuan untuk membungkus dadah.

“Suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Simpang dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sejak bila lelaki itu mula aktif menjalankan kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.

Menurut beliau, nilai rampasan dadah tersebut berjumlah RM46,500 dan pihaknya turut menyita sebuah kereta Persona, motosikal jenis Yamaha LC, seutas rantai emas dengan nilai sitaan sebanyak RM24,700.

Katanya, pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN