Kuetiau 'Aunty Gemuk' satukan gastronomi rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Kuetiau ‘Aunty Gemuk’ satukan gastronomi rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian seorang legenda menu char kuetiau paling popular di Lembah Klang dikenali sebagai ‘Aunty Gemuk’.

‘Aunty Gemuk’ atau nama sebenarnya Ah Hi mengusahakan sebuah gerai kecil di dalam Restoran Jamal Mohamed yang terletak di Kelana Jaya, Selangor.

Dia dilaporkan meninggal dunia selepas kecederaan pada kakinya tidak sembuh selepas terjatuh kira-kira empat bulan lalu.

Pengguna laman sosial Twitter yang cukup mengenali figura wanita tersebut dilihat ‘membanjiri’ laman sosial itu dan berkongsi rasa sedih serta terkejut atas pemergian Ah Hi.

Rata-rata mereka melahirkan rasa terkilan memandangkan mereka tidak lagi boleh melihat kelibat wanita berusia 66 tahun itu menggoreng char kuetiau.

Seorang pengguna Twitter yang hanya mahu dikenali sebagai Sofee memberitahu, dia akan merindui kelibat wanita itu memasak juadah char kuetiau apabila berkunjung ke restoran popular tersebut.

“Saya baru mengidam dan bercadang untuk makan char kuetiau yang digoreng oleh ‘Aunty Gemuk’.

“Berehatlah Aunty. Char kuetiau masakan ‘Aunty Gemuk’ memang sedap dan merupakan juadah kegemaran saya sejak kecil kerana tiada siapa pun yang boleh menandingi keenakan rasa kuetiaunya,” tulis Sofee Isnin lalu.

Menu istimewa

Menurut seorang lagi peminat juadah tersebut, Sivan John, dia terkejut apabila mendapat tahu tentang pemergian wanita tersebut dan menyifatkan bahawa menu char kuetiau Ah Hi cukup unik dengan rasa char kuetiau yang asli.

“Saya cukup terkejut apabila mendapat tahu tentang berita sedih ini.

“Saya percaya bahawa masakan enak Ah Hi sudah menyentuh hati ramai peminat menu char kuetiau di Malaysia dan mendiang pastinya akan sentiasa diingati,” jelasnya.

Char kuetiau masakan mendiang Ah Hi sememangnya mempunyai tarikannya yang tersendiri kerana ia mampu mengumpulkan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama untuk sama-sama menikmati menu tersebut di bawah satu bumbung yang sama.

Peminat char kuetiau wanita tersebut tidak kisah beratur panjang khususnya pada hari minggu di hadapan gerai yang tertera tulisan Penang Fried Kueh Teow di dalam Restoran Jamal Mohamed.

Hal ini kerana, rata-rata pelanggan mendiang menyifatkan agak sukar untuk mencari menu char kuetiau asli yang halal dan enak di sekitar Lembah Klang memandangkan masakan tersebut lebih sinonim di Pulau Pinang.

Penggemar menu char kuetiau ‘Aunty Gemuk’ tidak melepaskan peluang memilih juadah itu sebagai makanan sarapan pagi memandangkan rasanya yang cukup memikat selera.

Siapa sangka, sepinggan menu enak dan ringkas berharga antara RM5 hingga RM6 itu berjaya menyatukan rakyat.

Gabungan rasa

Keunikannya terletak pada gabungan rasa pes cili yang cukup popular dalam masakan Melayu dan juga kicap soya dalam masakan masyarakat Cina menjadikan menu ringkas seperti char kuetiau cukup enak dan disukai ramai.

Selain menu popular seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik, char kuetiau juga merupakan satu menu yang cukup diminati rakyat Malaysia sekiranya mereka bercuti atau bekerja di luar negara.

Bahan-bahan membuat char kuetiau juga cukup mudah didapati seperti kuetiau yang merupakan sejenis mi daripada tepung beras, kicap soya, bawang putih, kerang, tauge dan juga telur.

Ia dimasak dengan kaedah menggoreng kesemua bahan-bahan bersama selama beberapa minit di dalam kuali dengan api besar.

Keenakan menu char kuetiau terletak pada gabungan kesemua bahan utama selain rasa hangus yang ada pada menu tersebut.

Dikatakan berasal dari Pulau Mutiara, char kuetiau kini menjadi antara menu wajib dicuba bagi pelancong luar yang datang ke Malaysia memandangkan gabungan pelbagai bahan dalam menu tersebut sahaja cukup untuk melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia.

Penduduk Melayu, Cina, India dan etnik lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi dan kepelbagaian budaya ini telah membentuk satu masyarakat Malaysia yang unik.

Perpaduan kaum dipengaruhi oleh pelbagai aspek seperti budaya, pakaian tradisional, sambutan perayaan dan juga makanan.

Bercerita tentang bagaimana satu makanan boleh menggabungkan pelbagai kaum di Malaysia, pakar sosial daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran ketika dihubungi memberitahu, selain seni dan budaya, makanan juga merupakan salah satu elemen yang menghubungkan antara satu kaum dengan kaum lain.

“Makanan sering kali dijadikan sebagai ‘gam’ atau penghubung antara beberapa kaum bagi memupuk perpaduan. Contoh paling mudah boleh dilihat ialah melalui amalan penggabungan rasa makanan yang menepati selera penduduk tempatan.

“Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan membentuk satu masyarakat yang bersatu padu. Dari aspek makanan, menu yang biasanya dimakan oleh orang Melayu turut digemari oleh masyarakat lain kerana rasanya yang menepati selera sejagat.

“Hal ini dipanggil sebagai adaptasi makanan dan ia sudah diamalkan semenjak berpuluh-puluh tahun dahulu dan hasilnya, ia membentuk Malaysia sebuah negara yang unik dan bersatu-padu menerusi asimilasi makanan,” katanya ketika dihubungi kru Panorama.

Menu Malaysia

Tambah Mohammad Shatar, tidak hairanlah makanan kegemaran kaum India seperti putu mayam juga boleh menjadi makanan kegemaran kaum lain.

“Bercakap tentang menu char kuetiau, ia pada asalnya merupakan menu masyarakat Cina, namun jika dilihat di gerai-gerai, mereka yang menikmati makanan itu terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ia seterusnya diangkat sebagai satu menu yang melambangkan Malaysia. Masyarakat berbilang kaum cukup gemarkan gabungan rasa yang ada pada menu tersebut,” jelasnya.

Bagi menyemarakkan lagi perpaduan kaum menerusi makanan, Mohammad Shatar berkata, orang ramai haruslah sentiasa peka terhadap kepelbagaian makanan, khususnya semasa mengadakan majlis-majlis besar dengan memastikan menu yang disediakan itu memenuhi cita rasa semua kaum.

“Saya melihat, ada kalanya dalam majlis-majlis tertentu, ada penganjur yang seolah-olah melupakan kumpulan etnik kecil contohnya seperti Kadazan Dusun, Bidayuh dan Iban.

“Bagi memastikan masyarakat Malaysia terus bersatu-padu menerusi makanan, penganjur bolehlah mengambil pendekatan dengan memperbanyakkan makanan-makanan kumpulan etnik kecil ini untuk dinikmati bersama tiga bangsa utama di Malaysia,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN