Baru-baru ini tular di media sosial seorang wanita berusia 32 tahun dari Amerika Syarikat memuat-naik video pengakuannya menghidapi kanser usus besar yang diketahui selepas membuat ujian kolonoskopi.
Di Amerika Syarikat (AS), orang ramai dicadangkan hanya mendapatkan saringan untuk kanser kolon bermula usia 50 tahun ke atas. Menerusi video tersebut, Waller memberitahu dia mungkin sudah lama meninggal dunia jika dia menurut saranan melakukan kolonoskopi pada usia tersebut.
Menurut laporan kajian Pendaftaran Kanser Negara (NCR) 2006, kanser kolon merupakan kanser kedua tertinggi berlaku di Malaysia, nombor satu dalam kalangan lelaki dan kedua di kalangan wanita, namun ia sering ditemui pada tahap yang tinggi.
Simptomnya yang tidak nyata dan sering disalah erti sebagai masalah biasa seperti sakit perut, sukar membuang air besar dan tinja berdarah membuatkan pesakit sering tidak memandang berat akan masalah tersebut.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Thomson Hospital Kota Damansara, Dr. Dennis Khoo Yeap Teng berkata, walaupun kanser kolon atau kanser usus besar lebih banyak menyerang pesakit yang berusia 50 tahun ke atas, semakin ramai pesakit yang lebih muda terkena kanser tersebut akibat persekitaran dan gabungan faktor lain.
“Kanser usus besar adalah yang paling tinggi di Malayisa bagi lelaki dan nombor dua bagi wanita. Nisbahnya, dalam 20 orang, satu orang pasti menghidap kanser usus besar.
“Selalunya simptom kanser usus besar ini tidak nyata dan sering disalah erti dengan masalah biasa seperti sakit perut dan pening. Apabila kanser usus besar sudah berada di tahap yang tinggi baru simptomnya jelas kelihatan membuatkan diagnosis di tahap lambat.
“Golongan muda turut tidak terkecuali atas faktor gaya hidup seperti pemakanan yang banyak daging merah dan daging proses selain obesiti, merokok dan keturunan.
“Sebab itu langkah pencegahan adalah terbaik dengan melakukan kolonoskopi dan membuang terus polip yang ada di dalam usus besar.
“Bagi saya elok melakukan kolonoskopi sebelum berusia 50 tahun, seelok-eloknya 40 tahun atau lebih awal kerana polip yang muncul ketika itu dapat dibuang sebelum ia bertukar menjadi sel kanser.
“Usia tersebut adalah terbaik untuk kolonoskopi kerana polip yang ditemui kemungkinan akan berubah menjadi sel kanser dalam tempoh 10 tahun.
“Tidak semua polip bersifat kanser, namun untuk pencegahan, polip yang ditemui akan terus dibuang melalui prosedur kolonoskopi yang mengambil masa 15 hingga 20 minit sahaja,” ujar Dr. Dennis ketika ditemui di Thomson Hospital Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Polip
Polip adalah ketulan lebihan daging di dalam usus yang seakan-akan jerawat yang masih belum menjadi kanser. Walaupun begitu, dalam beberapa tahun polip boleh berubah menjadi besar lalu bertukar ke sel kanser.
Pemeriksaan menerusi kolonoskopi dapat mengesan kehadiran polip dan selalunya kesemua polip yang ditemui akan dibuang ketika prosedur tersebut bagi mengurangkan peratusan berlakunya kanser kolon.
Bersaiz satu sentimeter atau kurang, saiz polip yang terlalu kecil menyebabkan pesakit tidak dapat merasa apa-apa simptom akan kewujudannya.
Tidak kesemua polip akan berubah menjadi kanser namun adalah digalakkan untuk membuang kesemua polip yang ditemui ketika ujian kolonoskopi bagi mengurangkan risiko kanser kolorektal.
Ujarnya, prosedur kolonoskopi ini disyorkan buat mereka yang berusia 40 tahun dan jika pemeriksaan tidak mengandungi sebarang polip, ia boleh diulangi dalam tempoh 10 tahun lagi.
Menurut Dr. Dennis, prosedur kolonoskopi hanya mengambil masa 15 hingga 20 minit dan pesakit diberi ubat tidur semasa prosedur memasukkan wayar dengan kamera dan peralatan memotong dimasukkan bagi memberi keselesaan kepada pesakit.
Terdapat cara lain untuk mengesan kanser kolon iaitu ujian kehadiran darah dalam tinja dan ujian darah terbaru iaitu M2-PK bagi mengesan sel kanser kolorektal namun tegas Dr. Dennis, kolonoskopi adalah pilihan yang terbaik kerana paling cepat dapat mengesan sebarang kelainan di dalam usus.
Simptom
- Perubahan pada rutin buang air besar, termasuk diarea atau sembelit atau perubahan konsisten tinja
- Pendarahan pada rektum atau darah pada tinja
- Ketidakselesaan abdomen yang berterusan seperti kejang, bergas atau sakit
- Perasaan seperti usus tidak kosong sepenuhnya selepas membuang air besar
- Badan lemah atau kepenatan
- Hilang berat badan tanpa punca yang diketahui
Risiko
- Usia lebih 50 tahun.
- Mempunyai sejarah menghidap kanser kolorektal atau polip adematous.
- Mengalami masalah keradangan usus.
- Mewarisi sindrom yang meningkatkan kanser usus seperti Sindrom Lynch.
- Sejarah keluarga menghidap kanser usus dan polip usus.
- Diet rendah serat dan tinggi lemak dan kalori.
- Diet tinggi daging merah.
- Diet tidak sihat dengan banyak makan makanan proses.
- Gaya hidup yang banyak duduk (pekerja pejabat).
- Diabetes.
- Obesiti.
- Merokok.
- Meminum arak.
- Terapi radiasi kepada pesakit kanser.










