PARIT BUNTAR 11 Sept. – Khidmat sambilan seorang petani di sini, Abdul Manap Abdul Rahman yang mengambil upah menukar tayar atau tiub motosikal pengguna terutama pada waktu malam di daerah ini semakin dikenali.
Berusia 53 tahun, Abdul Manap menyifatkan khidmatnya itu bukanlah mahu mencari keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada untuk membantu mereka yang mengalami masalah tayar motosikal.
Menurutnya, mungkin khidmat sedemikian lebih popular di kawasan bandar namun di daerah ini juga mempunyai banyak pemilik motosikal terutama pekerja kilang di Parit Buntar.
“Ada antara mereka yang pergi dan pulang kerja pada waktu malam dan sudah tentu ada yang mengalami masalah tayar bocor dan perlu ditukar dengan segera.
“Saya kerap menerima panggilan untuk menukar tiub tayar motosikal yang bocor khususnya di Jalan Kuala Kurau-Nibong Tebal, Pulau Pinang yang memakan masa setengah jam,” katanya.
Menurutnya, dia sanggup membantu mereka malah pada waktu tengah malam didorong atas rasa simpati supaya mereka dapat meneruskan perjalanan.
“Saya mengenakan upah yang berpatutan kerana bagi saya yang penting mereka dapat meneruskan perjalanan balik ke rumah masing-masing.
“Sejak pertama kali membantu orang menukar tiub, kini ramai yang menghubungi saya jika mengalami masalah tayar malah kadangkala tak menang tangan untuk membantu mereka,” katanya.
Menyifatkan ia sebagai rezeki tambahan, Abdul Manap berkata, dia turut mempunyai bengkel motosikal yang dibuka sejak lebih 15 tahun berhampiran dengan rumahnya di sini.
Menurutnya, berbekalkan kemahirannya dalam bidang tersebut, dia membantu pengguna yang memerlukan.
“Saya juga melakukan kerja kampung seperti bersawah dan dengan rezeki ini saya menyara 10 anak sehingga ada yang sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.
Abdul Manap boleh dihubungi menerusi nombor telefon 012-5624859.











