KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berhasrat untuk membantu dan memperkasakan sekurang-kurangnya 2,000 usahawan di seluruh negara untuk mengeksport ke luar negara menerusi pelaksanaan program Buatan Malaysia, Digemari Seluruh Dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros berkata, program tersebut dianjurkan dengan kerjasama laman media sosial Facebook dan pemboleh perdagangan elektronik (e-Dagang), Avana.
Ia bertujuan untuk menyediakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) latihan dan sumber termasuk peralatan online bagi membantu mereka meneroka dan memperkembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa.
“Malaysia merupakan negara ketiga melaksanakan program seumpama ini selepas mencapai kejayaan di Taiwan dan Korea Selatan.
“Program ini akan memberi tumpuan dalam melengkapkan PKS menggunakan kedua-dua platform iaitu Facebook dan Avana untuk menarik pelanggan antarabangsa.
“Selain itu, peserta juga menerima pengetahuan mengenai sumber kewangan daripada program eTrade Matrade bagi membolehkan mereka mengeksport,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran program Buatan Malaysia, Digemari Seluruh Dunia di Menara MITI, Jalan Duta di sini semalam.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Avana, Luqman Adris.
Mohd. Shahreen Zainooreen menjelaskan, di bawah Inisiatif Digital Malaysia, e-Dagang telah dikenalpasti sebagai salah satu pemacu efektif pertumbuhan ekonomi negara.
Latihan di bawah program Buatan Malaysia, Digemari Seluruh Dunia kelolaan Facebook dan Avana akan dianjurkan di tujuh bandar utama seluruh negara iaitu Kota Kinabalu, Sabah; Kuching (Sarawak), Kuala Lumpur; Georgetown (Pulau Pinang); Johor Bahru (Johor); Alor Setar (Kedah) dan Kota Bharu (Kelantan).










