KUALA LUMPUR 4 Sept.- Kerajaan hari ini menolak cadangan untuk menetapkan harga siling tiket penerbangan sebagai usaha untuk menurunkan harga tambang terutamanya pada musim perayaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, harga siling akan memberi kesan buruk kepada harga tambang pada hari biasa yang mana syarikat-syarikat penerbangan berkemungkinan besar akan meningkatkan harga sekali gus membebankan rakyat.
Justeru, katanya, hasil daripada perbincangan bersama tiga syarikat penerbangan di negara ini iaitu Malaysia Airlines (MAS), AirAsia Berhad (AirAsia) dan Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air), mereka bersetuju untuk menambah 20 peratus kapasiti penerbangan semasa musim perayaan bermula tahun hadapan.
“Ada tiga musim perayaan yang memberi kesan kepada harga tiket penerbangan sehingga tiga kali ganda iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai, jadi penambahan penerbangan dibuat tujuh hari sebelum hari perayaan.
“Seperti musim Tahun Baru Cina tahun depan, tiket penerbangan dijangka mula dijual pada 1 Oktober ini dan kita sudah mengenal pasti tujuh destinasi untuk ditambah 20 peratus kapasiti sedia ada jadi dengan adanya pendekatan ini, harga tambang akan menurun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), di sini, hari ini.-UTUSAN ONLINE











