KUALA LUMPUR 27 Sept. – Jumlah kematian akibat keracunan metanol di seluruh negara, dilaporkan telah meningkat kepada 40 kes.
Pertambahan itu membabitkan tiga kes kematian baharu yang mana satu kematian masing-masing dilaporkan di negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 kes direkodkan di Selangor, empat kes di Perak, 11 kes di Kuala Lumpur manakala satu kes di Negeri Sembilan.
“Kes kematian itu melibatkan dua warga Bangladesh, dua warga India, Myanmar (11), Nepal (10), Malaysia (11) manakala empat tidak diketahui kewarganegaraannya.
“Sebanyak lapan pesakit didapati stabil dan dibenarkan keluar daripada hospital. Sebanyak 17 pesakit masih dirawat di enam buah hospital di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Daripada jumlah itu, tujuh pesakit adalah kes kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










