AKHIRNYA berita yang ditunggu-tunggu dengan penuh kesabaran oleh segenap lapisan rakyat Malaysia sejak seminggu dua kebelakangan ini terjawab.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih kerusi Parlimen Port Dickson sebagai batu loncatan untuk beliau merealisasikan impiannya yang tertangguh menjadi Perdana Menteri.
Jelas sekali ramalan banyak pihak bahawa isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan sekali lagi berkorban bagi memberi laluan kepada suaminya kembali ke kancah politik sebagaimana pernah dilakukan pada 2008 meleset sama sekali.
Entah macam mana, dalam beberapa kerusi yang ditawarkan kepada Anwar, menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Port Dickson menjadi pilihan.
Satu pengorbanan yang besar sebenarnya oleh penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang baharu sahaja dipilih dan diamanahkan oleh rakyat untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak sampai lima bulan lalu.
Bagi yang tidak tahu, Danyal Balagopal lebih dikenali dalam bidang sukan berbanding politik.
Beliau merupakan bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia bagi tempoh 2011 hingga 2015 dan menimbulkan kontroversi apabila digantung oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) pada tahun 2015 kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam kumpulan WhatsApp semasa persidangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Tidak apalah, itu kisah lama. Yang penting nama Danyal Balagopal telah tercatat dalam sejarah sebagai individu berjiwa besar yang memberi laluan kepada Anwar menjadi Perdana Menteri.
Persoalan yang lebih besar kenapa Port Dickson? Apa istimewanya kawasan itu kepada Anwar yang sudah sinonim dengan Permatang Pauh sepanjang karier politik beliau?
Berdasarkan komposisi pengundi, 55.1 peratus adalah bukan Melayu, 42.7 peratus pengundi Melayu dan 2.2 peratus lain-lain bangsa, sekali gus menjadikannya sebagai antara kerusi selamat bagi PKR. Mungkin itu jadi pertimbangan Anwar.
Kenapa bukan Pandan? Selayang? atau Batu? Antara teori dikemukakan ialah kerana suasana pemilihan PKR ketika ini yang panas kerana perebutan jawatan Timbalan Presiden parti antara penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang dilihat banyak pihak sebagai ‘kem Anwar’.
Wujud kebimbangan, sekiranya Presiden PKR itu bertanding di Selangor, berlaku unsur sabotaj memandangkan Pengerusi PKR Selangor ialah Mohamed Azmin sendiri yang banyak diserang oleh ‘kem Anwar’ sepanjang kempen pemilihan parti kali ini. Perlu ditegaskan itu hanya satu teori politik sahaja.
Namun begitu, dalam kemeriahan suasana pelbagai pihak terutama pendukung kuat Anwar, terdengar pula suara-suara yang mempertikaikan kewajaran mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh terdekat ini.
Alasan mereka mudah, PRK ini satu pembaziran wang rakyat kerana dilakukan bukan disebabkan penyandangnya meninggal dunia atau hilang kelayakan, tetapi lebih kepada strategi politik. Sejak PRU-14, nampaknya rakyat Malaysia semakin celik berbicara soal politik.
Jadi, apa ramalannya? Walaupun Barisan Nasional (BN) atau Pas masih belum mengumumkan calon serta langkah masing-masing, namun jelas sekali Anwar merupakan pilihan untuk menang PRK Parlimen Port Dickson.










