Kemusnahan sangat teruk - Utusan Malaysia

Kemusnahan sangat teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI 17 Sept. – Hab kewangan Hong Kong memulakan operasi pembersihan hari ini selepas dibadai Taufan Mangkhut yang memusnahkan pokok dan mencetuskan banjir, akibat fenomena cuaca yang menyaksikan berpuluh-puluh penduduk di Filipina terbunuh manakala jutaan lagi dipindahkan di selatan China.

Angka kematian di Filipina di mana Pulau Luzon dilanda angin kencang dan hujan, me­ningkat kepada 65 orang malam tadi ketika pasukan penyelamat mengeluarkan lebih banyak ma­yat daripada timbunan tanah runtuh di kawasan pergunu­ngan di pekan Itogon.

Tanah runtuh itu menimbus sebuah pusat perlindungan kecemasan yang digunakan pe­lombong dan keluarga mereka di pekan berkenaan.

Tiada mangsa yang ditemukan masih hidup daripada sisa runtuhan ketika ahli keluarga mengambil bahagian dalam ope­rasi menyelamat.

Jurucakap polis Filipina, Senior Supritendan Victorio Palangdan berkata, sebanyak 43 orang masih hilang dan lebih 155,000 penduduk kekal di pusat pemindahan, dua hari selepas bencana itu berlaku.

Ladang di utara Luzon yang menghasilkan jagung dan padi negara itu ditenggelami air lumpur kurang sebulan daripada musim menuai.

Selepas membadai Luzon, Hong Kong dan Macau, ribut itu melanda tanah besar China malam tadi dengan empat penduduk dilaporkan maut di wilayah Guangdong yang mempunyai lebih 100 juta penduduk.

Stesen televisyen tempatan berkata, amaran banjir dike­luarkan bagi 38 batang sungai di wilayah berhampiran Guangxi manakala 12 stesen pemantauan pantai melaporkan ombak besar dengan 13,300 hektar ladang musnah.

Agensi berita Xinhua mela­porkan, sebanyak 2.45 juta penduduk di Guangdong dipindahkan malam tadi sebelum taufan itu melanda wilayah Guangxi pada pukul 6 pagi waktu tempatan dan dikategorikan sebagai ribut tropika.

Tambahnya, Mangkhut yang merupakan satu daripada 10 taufan besar yang melanda tenggara China sejak 1949 dijangka membadai wilayah Guizhou, Chongqing dan Yunnan hari ini.

Pihak berkuasa berkata, me­reka memindahkan lebih tiga juta penduduk dan mengarahkan puluhan ribu bot nelayan kembali ke pelabuhan sebelum kedatangan fenomena yang digelar media tempatan sebagai ‘Raja Taufan’.

Di Hong Kong, kerajaan menyifatkan kemusnahan sangat teruk dengan lebih 300 penduduk dilapor cedera yang mencetuskan amaran taufan T10.

Kerja-kerja pembersihan di kota raya itu bermula ketika penduduk kembali bekerja dalam keadaan jalan raya kekal terha­lang akibat pokok tumbang, lumpur dan sisa serpihan.

Tanah runtuh dan banjir menjejaskan beberapa kawasan dengan lebih 1,500 penduduk mencari perlindungan di pusat perlindungan sementara malam tadi.

Taufan Mangkhut memba­wa tiupan angin 230 kilometer sejam mengakibatkan bangunan ‘berbuai’ dan air memasuki kediaman dan pusat beli-belah di Hong Kong. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN