KUALA LUMPUR – Badan Siasatan Bebas yang dilantik untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual terhadap doktor pelatih oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang mengesyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) menggantung ketua jabatan terbabit.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penggantungan tugas itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Menurutnya, badan siasatan itu turut menyarankan satu laporan dibuat kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk menyiasat ketua jabatan tersebut berhubung salah laku profesional berdasarkan peruntukan dalam Akta Perubatan 1971.
“Siasatan mendapati ada asas yang mencukupi untuk KKM mengambil tindakan lanjut terhadap ketua jabatan itu.
“KKM disarankan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menggantung ketua jabatan itu bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan sebanyak 38 Pegawai Perubatan Siswazah yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang tampil membuat laporan kepada Badan Siasatan Bebas berhubung kejadian itu. – K! ONLINE










