Kelainan di Restoran Pot&Pan - Utusan Malaysia

Kelainan di Restoran Pot&Pan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKUNJUNG ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pasti membuatkan ramai pengunjung ‘pening’ untuk memilih tempat makan yang menawarkan hidangan enak pada harga berpatutan.

Apatah lagi apabila banyak restoran baharu dibuka sehingga menyebabkan pengunjung jadi rambang mata untuk membuat pilihan terutamanya membabitkan tawaran menu ala carte.

Bagi yang ingin mencuba kelainan, Restoran Pot&Pan yang beroperasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) adalah pilihan tepat kerana premis berkenaan menawarkan pelbagai menu masakan yang enak.

Pengurus Besar Perkhidmatan Katering PICC, Mahmad Anuar Othman berkata, sebanyak 30 menu ala carte disediakan di Restoran Pot&Pan pada kadar harga semurah RM8 hingga RM30.

“Masakan yang disediakan berkonsepkan Melayu, Cina, Barat dan juga ala Thai. Pelanggan boleh membuat pesanan dan hidangan yang disaji panas-panas bagi memastikan mereka berpuas hati dengan khidmat kami.

“Hidangan yang menjadi pilihan pengunjung ialah ayam floria percik (RM15), chicken chop (RM16), buzz udang masak ros (RM15); kambing hitam manis (RM15) dan Thai set (RM18),” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Mahmad Anuar, hidangan lain yang turut mendapat sambutan ialah set nasi ayam goreng/kukus dan set bawal (RM8), cantonis yee mee (RM10) selain pelbagai pilihan minuman seperti bandung soda vanila dan teh beng vanila.

“Untuk hidangan Thai set, kita menampilkan kelainan dengan menyediakan nasi goreng tomyam dengan pilihan ayam goreng kunyit, daging halia dan ayam kari hijau serta disekalikan dengan telur dadar dan sayur.

“Kita di sini memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, Ada banyak kemudahan di sini antaranya kawasan letak kereta yang luas, surau dan ruang makan yang selesa serta berhawa dingin,” katanya.

Sementara itu katanya, bagi pelanggan yang tidak mahu memesan hidangan ala carte, mereka boleh mencuba bufet makan tengah hari yang disediakan di Restoran Pot&Pan pada harga RM30 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

“Untuk bufet kita menyediakan pelbagai variasi masakan dengan 10 hidangan utama termasuk nasi kak lin (nasi berserta ayam cincang dan sambal) yang menjadi kegemaran ramai,” katanya.

Restoran Pot&Pan beroperasi setiap hari bermula pukul 7.30 pagi hingga 10.30 malam, pelanggan boleh membuat tempahan awal di talian 03-88876000 atau datang secara terus ke restoran berkenaan untuk menjamu selera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN