KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan jangkitan virus beguk melibatkan atlet temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 dalam keadaan terkawal.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kebanyakan mereka yang mengalami penyakit berjangkit itu akan pulih dalam tempoh seminggu.
“Penyakit ini walaupun boleh menjadi satu penyakit yang berjangkit tetapi ini bukan satu penyakit yang serius. Tahap jangkitan virus penyakit itu bermula kira-kira lapan hari sebelum simpton penyakit itu jelas.
“Tempoh kuaratin boleh mengambil masa sehingga 25 hari. Jangkitan penyakit itu masih terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen Saintifik Tahunan Persatuan Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) ke-2 di sini hari ini.
Semalam, pasukan boling padang wanita Negeri Sembilan menjadi pasukan kedua menarik diri daripada Sukma ke-19 akibat jangkitan virus beguk selepas pasukan futsal wanita dan lelaki Sabah berbuat demikian awal minggu ini. – Bernama










