KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ahli-ahli UMNO dinasihatkan supaya jangan cepat menyerah kalah dan tidak terlalu kecewa walaupun parti itu dikejutkan dengan peletakan jawatan dua pemimpin.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pemimpin dan ahli perlu kembali memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan UMNO kembali bangkit.
Malah, katanya, masih ramai ahli yang berkelayakan dan mempunyai kepemimpinan tinggi ingin menawarkan diri menjadi pemimpin dalam UMNO.
“Ini adalah tempoh di mana UMNO sedang menghadapi ujian, namun kita jangan cepat kecewa dan menyerah kalah kerana masih ada cahaya di hujung terowong.
“Kalau ada yang ambil keputusan untuk keluar, itu tidak menjadi masalah kerana ramai lagi mahu terajui UMNO. Jangan ingat disebabkan ada beberapa pemimpin keluar bermakna parti sudah tiada pemimpin dan tiada siapa yang mahu meneruskan perjuangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama kepemimpinan UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











