Jangan hentikan NFDP - Utusan Malaysia

Jangan hentikan NFDP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Pencetus Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Khairy Jamaluddin berharap program itu dapat diteruskan kerana kewujudannya berjaya membentuk ekosistem bola sepak yang boleh memanfaatkan negara pada masa akan datang.

Menurut Khairy, sejak NFDP dilancarkan pada 10 April 2014, seramai hampir 23,000 pelatih menjalani latihan di 123 akademi seluruh negara, melibatkan pemain berumur tujuh hingga 17 tahun.

“Kini, ada seramai 200 orang pemain sedang menjalani latihan di akademi nasional di Gambang, dengan 20,000 lagi pemain berada dalam sistem tersebut di seluruh negara,” kata Khairy di akaun Twitter milik beliau, hari ini.

Khairy, yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan, juga berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meneruskan NFDP dan tidak menjadikan kegagalan skuad Teong Kim sebagai penanda aras bahawa program tersebut tidak berjaya.

“Saya harap KBS dapat teruskan NFDP kerana program itu lebih besar daripada hanya prestasi skuad LTK.

“Itulah ekosistem yang telah dibina di bawah NFDP. Mudah untuk melihat hasil hari ini dan membuat kesimpulan tetapi perkembangannya susah dan mengambil tempoh masa yang panjang. Jika anda menarik plug (hentikan program ini) sekarang, keseluruhan ekosistem akan hilang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN