KUALA TERENGGANU 13 Sept. – Isyarat kerjasama antara Pas dan UMNO semakin jelas apabila perkara itu diberi penekanan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-59 hari ini.
Tuan Ibrahim secara berkias berkata, mana-mana individu yang berkelahi, mereka cenderung meninggikan suara walaupun berada berdekatan disebabkan hati kedua-dua belah pihak sudah jauh.
“Kenapa orang bercinta bercakap perlahan walaupun berada berjauhan? Hal ini kerana hati mereka sudah dekat. Yang penting bukan fizikal tapi hati.
“Keinginan hati untuk melihat Islam bangkit semula di Malaysia perlu digarapkan menerusi satu bentuk penyatuan umat Islam, bukannya amalan assabiah yang dilarang nabi,” katanya ketika berucap merasmikan muktamar itu.
Yang turut hadir, Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi juga hadir bersama rombongan beliau sebagai tetamu jemputan khas muktamar tersebut.
Menurut Tuan Ibrahim, dalam al-Quran terkandung ayat mengenai perlunya duduk bersama antara satu pihak dengan satu pihak yang lain demi penyatuan ummah dengan cara memperbesarkan persamaan dan mengecilkan perbezaan.
“Kalau kita inginkan penyatuan ummah atas nama Islam, kita perlu besarkan perkara sama supaya perkara berbeza itu dikecilkan. Dan sebaliknya, kalau kita ingin perpecahan, kita memperbesarkan perbezaan supaya tidak nampak sebarang persamaan,” katanya.
Beliau juga menyeru para perwakilan supaya menanamkan taat dan wala’ kepada parti serta sedia menerima apa jua keputusan kerana setiap keputusan bukan dilakukan seorang diri, sebaliknya secara berjemaah mengikut kaedah-kaedah yang difikirkan terbaik. – UTUSAN ONLINE










