KUALA LUMPUR 28 Sept. – Penyedia insurans digesa menjalin perkongsian sinergistik sesama mereka untuk mencapai skala dan daya saing bagi meningkatkan prestasi dan memasuki pasaran baharu memandangkan ekonomi tempatan kini memerlukan sektor terbabit melakukan transformasi.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, industri itu memainkan peranan penting dalam membantu membendung kos dan menjajarkan pengguna serta industri perubatan ke arah langkah pencegahan yang akan mengurangkan beban ke atas individu dalam masyarakat.
“Penduduk dunia semakin tua termasuk Malaysia. Peningkatan jumlah penduduk usia tua akan memberi tekanan ke atas pertumbuhan dan sistem perlindungan sosial. Insurans akan memain peranan dalam memastikan keperluan hidup, kesihatan dan pencen masyarakat dipenuhi secara mampan,” katanya dalam ucapan pada perasmian Sidang Kemuncak Institut Insurans Malaysia di sini hari ini.
Nor Shamsiah berkata, jelas terdapat potensi yang belum diteroka untuk industri meningkatkan impak ekonomi yang lebih luas dan mempunyai ciri yang lebih menonjol dalam kisah pertumbuhan Malaysia.
“Bagaimanapun, ini tidak boleh berlaku kecuali industri itu meningkatkan tahapnya dan mengambil pandangan yang lebih strategik terhadap peranannya dalam ekonomi, bekerja lebih proaktif dalam keseluruhan industri dan bersama badan serta agensi yang berkaitan.
“Permintaan terhadap industri masih rendah dan tidak akan dipenuhi tanpa kepimpinan yang kuat, pandangan jangka panjang mengenai kapasiti pelaburan dan tumpuan berterusan terhadap standard kualiti dan kecekapan operasi.
“Malah, keadaan ini masih menghampakan berdasarkan kedudukan industri itu yang berpecah-belah,” katanya.
Daripada perspektif bank, beliau berkata, matlamatnya adalah untuk memudahkan inovasi dalam tiga cara utama, termasuk menurunkan halangan kepada inovasi dan persaingan.
Ini katanya, dicapai dengan menyediakan persekitaran pengawalseliaan ke atas industri, termasuk firma bukan insurans untuk menguji inovasi tanpa tindakan pengawalseliaan yang mahal, membenarkan bank menyesuaikan peraturan BNM dengan lebih sesuai untuk melakukan inovasi. – bernama
“Kedua, melalui perkadaran. Kami mahu mencerminkan perkadaran dalam rangka kerja pengawalseliaan. Untuk insurans, kami menjangkakan ia menjadi sasaran utama dengan pendekatan perkadaran yang lebih bersesuaian dapat diambil untuk mengurangkan kos pematuhan bagi penanggung insurans untuk memperkenal penyelesaian inovatif dalam bidang di mana kami percaya risiko kepada pengguna adalah rendah.
“Bidang ketiga adalah untuk membangunkan pendekatan yang lebih tersusun, terutama merentasi agensi, untuk memastikan keserasian undang-undang dan kawal selia dengan inovasi baharu dalam insurans,” katanya.– BERNAMA











