Imbauan 40 tahun gempa bumi Iran - Utusan Malaysia

Imbauan 40 tahun gempa bumi Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEJAK tengah hari lagi saya berasakan sesuatu yang tidak kena bakal berlaku.

“Tidak sangka naluri saya tepat kerana selepas itu bencana gempa bumi berlaku. Gegaran kuat dapat dirasakan secara tiba-tiba sebelum jeritan manusia membingitkan gegendang telinga saya,” jelas salah seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmani.

Menurut lelaki itu yang kini berusia 75 tahun, kawasan kediaman yang pada awalnya dipenuhi dengan ratusan buah rumah lenyap dalam sekelip mata pada petang 16 September 1978.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa yang tinggal hanyalah kepulan debu tebal dan timbunan batu-bata. Pada waktu itu, Rahmani mengumpamakan kawasan persekitaran tidak ubah seperti tanah perkuburan.

Gempa terburuk

Hari ini, genap 40 tahun kejadian gempa bumi yang berlaku di Tabas, wilayah tenggara Iran.

Gempa bumi yang berlaku selama tiga minit yang berukuran 7.7 pada skala Richter itu merupakan antara gempa bumi terburuk pernah berlaku di negara tersebut.

Menurut pihak berkuasa, gempa yang berlaku pada pukul 7.30 malam itu menyebabkan 30,000 nyawa terkorban, manakala 40 buah perkampungan musnah.

Bencana tersebut menyebabkan bekalan air dan elektrik terputus sementara semua talian komunikasi ke Tabas tidak berfungsi.

Keadaan itu menyebabkan bekalan air untuk mangsa gempa bumi terpaksa dibawa khas dari Mashad, sebuah daerah yang mengambil masa kira-kira 9 jam perjalanan ke kawasan bencana.

Susulan tragedi tersebut, Raja Iran pada waktu itu, Mohammed Reza Pahlavi mengumumkan negara berkabung selama tiga hari.

“Gempa terbesar yang melanda Iran adalah pada tahun 1962 di kawasan barat laut Iran. Pada waktu itu, 10,000 orang terbunuh.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka ia berlaku lagi dengan gegaran 7.7 pada skala Richter. Lebih menyayat hati apabila tragedi itu mengorbankan lebih 30,000 nyawa,” jelasnya.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada 700 orang tentera dikerahkan ke operasi pembersihan di Tabas dan kampung sekitar.

Biarpun begitu, keadaan sekitar pada waktu itu menjadi semakin huru-hara kerana operasi menyelamat dijalankan secara tidak teratur.

Lebih teruk apabila operasi tersebut hanya dimulakan kira-kira 24 jam selepas bencana.

Disebabkan terdesak, penduduk yang terselamat mengambil inisiatif untuk membersihkan runtuhan dan melakukan kerja-kerja menyelamat dengan hanya menggunakan kudrat tenaga mereka sahaja.

Gali runtuhan

Menurut Rahmani, biarpun ketika itu orang ramai di kawasan gempa masih berada dalam keadaan trauma dan terkejut, namun mereka tekad bekerjasama untuk mencari mangsa-mangsa yang terkorban dengan menggali dan mengalihkan runtuhan batu-bata.

“Malangnya, kami mendapat perintah untuk menghentikan kerja-kerja tersebut kerana dikhuatiri diserang penyakit berjangkit yang berkemungkinan berpunca daripada mayat di bawah runtuhan itu.

“Atas alasan itu juga, berlaku sedikit perbalahan apabila kami mula mendesak pihak berkuasa membekalkan peralatan mencari dan menyelamat yang sesuai untuk digunakan terutamanya kren,” jelasnya.

Kelewatan operasi menyelamat dan memulihkan kawasan bencana menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati dengan cara pihak kerajaan mengendalikan mangsa di kawasan tragedi.

Disebabkan kelemahan perancangan dan pengurusan bencana, operasi mencari dan menyelamat kecemasan di peringkat tempatan yang sepatutnya selesai dalam tempoh empat minggu dilanjutkan sehingga tiga bulan.

Akibat penangguhan itu juga, mangsa gempa bumi menghadapi sesak nafas dan hipotermia yang serius. Ia secara tidak langsung mengakibatkan jumlah kematian meningkat.

“Keadaan tersebut menimbulkan kemarahan dalam orang ramai dan seterusnya merebak sehingga menjadi reformasi untuk menggulingkan pemerintahan Mohammed Reza.

“Selepas semua operasi membersihkan kawasan gempa selesai iaitu kira-kira empat bulan kemudian, pada 16 Januari 1979, Mohammed Reza dan keluarganya dipaksa untuk turun daripada takhta pemerintahan oleh rakyat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini