Ibu bapa, guru Senada semarak Hari Malaysia 2018 - Utusan Malaysia

Ibu bapa, guru Senada semarak Hari Malaysia 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMANGAT patriotik yang mendalam sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 mendorong ibu bapa, guru-guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2 (Senada), Kajang, Selangor bergabung tenaga menyiapkan Jalur Gemilang gergasi.

Guru Besar Senada, Rusda Mosdaram berkata, program menghasilkan Jalur Gemilang gergasi berukuran 9 meter panjang dan 4.5 meter lebar itu julung-julung kali dilaksanakan melibatkan guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Menurutnya, selain menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, program tersebut juga bertujuan memupuk rasa kecintaan kepada negara di samping mengukuhkan jati diri dalam diri setiap murid.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Generasi muda sekarang yang bakal menguruskan masa depan negara perlu mempunyai semangat kenegaraan dan jati diri yang tinggi.

“Kita mahu nilai kecintaan kepada tanah air ini bukan bermusim tetapi pada setiap masa dan waktu,” katanya kepada kru Panorama baru-baru ini.

“Program itu juga diharap dapat meniup semangat patriotik khususnya khususnya murid sekolah yang lahir selepas kemerdekaan negara agar sedar betapa pentingnya menjadi sebuah negara yang bebas merdeka,” katanya.

Patriotik

Tambah Rusda, kesemua guru, ibu bapa dan murid yang terlibat dilihat memberi komitmen tinggi dalam merealisasikan program tersebut sebagai usaha mereka memupuk semangat kecintaan terhadap negara.

“Hari ini, murid juga diajar untuk merangsang semangat patriotik mereka dan saya percaya ia semakin sebati dalam jiwa masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Senada, Nik Mohamad Anuar Badiruddeen berkata, idea menghasilkan bendera itu tercetus daripada ilham warga sekolah itu sendiri yang mahu sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini disambut dengan lebih meriah.

“Jalur Gemilang gergasi itu berjaya disiapkan hasil gotong-royong ibu bapa, guru dan murid yang mengecat bendera itu selama kira-kira tiga jam,” katanya.

Jelasnya lagi, selain menghasilkan Jalur Gemilang gergasi, turut diadakan sempena program tersebut adalah pertandingan melakar memori kemerdekaan melibatkan guru-guru dan gajet kemerdekaan yang dihasilkan oleh murid-murid.

“Sebanyak 80 helai Jalur Gemilang juga telah dipasang sepanjang pagar hadapan sekolah bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018,” katanya.

Silaturahim

Menurut Nik Mohamad Anuar, Jalur Gemilang gergasi itu juga akan dijadikan latar belakang pada majlis penutup sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat sekolah yang bakal diadakan pada 28 September depan.

Tambahnya lagi, selain menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018, program itu juga akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara guru-guru dan ibu bapa yang terjalin selama ini.

“Program ini juga sebagai salah satu bentuk sokongan PIBG kepada pihak sekolah.

“Sehubungan itu, kos keseluruhan program berjumlah RM2,000 disumbang sepenuhnya oleh PIBG sekolah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini