Hun Sen kekal berkuasa di Kemboja - Utusan Malaysia

Hun Sen kekal berkuasa di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 33 tahun lalu, Hun Sen, 66, dilantik sebagai Perdana Menteri bagi mewakili Parti Rakyat Kemboja (CPP), sekali gus menjadi ketua kerajaan termuda dunia.

Beliau yang diberi nama Hun Bunal lahir daripada keluarga petani yang miskin di Kampung Cham, sebuah wilayah di timur laut ibu kota Kemboja, Phnom Penh yang bersempadan dengan Vietnam.

Selama bertahun-tahun, anak ketiga daripada enam adik-beradik tersebut bekerja sebagai buruh pertanian dan hampir tidak mempunyai pendidikan formal.

Beliau dilaporkan menerima pendidikan rendah di Phnom Penh sebelum meninggalkan keluarganya ketika berusia 13 tahun bagi menghadiri sekolah biarawan di kawasan tersebut.

Apabila bekas Perdana Menteri Kemboja, Lon Nol merampas kuasa daripada bekas pemerintah, Norodom Sihanouk pada tahun 1970 melalui kudeta, remaja itu meninggalkan pendidikannya untuk menyertai organisasi komunis iaitu Khmer Rouge.

Pada tahun 1972, dua tahun selepas menyertai organisasi tersebut, Hun Bunal menukar namanya kepada Hun Sen.

Hun Sen yang kini merupakan salah seorang pemimpin dunia paling lama berkhidmat juga pernah hilang sebelah mata.

Kejadian itu berlaku ketika beliau menyertai peperangan Phnom Penh pada 16 April 1975 yang berlaku sehari sebelum komunis mengambil alih kuasa.

Peperangan itu bertujuan untuk menghapuskan diskriminasi terhadap orang kelainan upaya (OKU).

“Saya juga tidak boleh melihat menggunakan mata kiri saya.

“Walaupun kita kehilangan sebelah mata, kita perlu berusaha untuk mengatasinya agar tidak berasa rendah diri dengan kecacatan tersebut,” kata Hun Sen kepada lebih 250 ahli keluarga veteran tentera yang cacat di wilayah Siem Reap menjelang Tahun Baru Khmer tahun lalu.

Sokongan isteri

Hun Sen juga berbohong tentang tarikh kelahirannya agar dia kelihatan lebih tua ketika menyertai Khmer Rouge.

Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1952, namun ulang tahun kelahiran Hun Sen secara rasmi diraikan pada 4 April 1951.

Lelaki yang sudah memerintah Kemboja selama 33 tahun tersebut naik melalui sistem pangkat dalam parti Khmer Rouge sebelum akhirnya melarikan diri dan membantu menumbangkan rejim Pol Pot bersama pasukan yang disokong Vietnam.

Beliau amat berterima kasih kepada isteri, Bun Rany kerana sentiasa berada bersamanya selepas cedera dan menggesa ahli keluarga veteran perang yang cedera melakukan perkara yang sama.

Bapanya, Hun Neang adalah seorang sami di sebuah gereja tempatan di wilayah Kampung Cham sebelum menarik diri untuk menyertai penentangan Perancis dan berkahwin dengan ibu Hun Sen, Dee Yon pada tahun 1940-an.

Dee Yon meninggal dunia akibat sejenis penyakit pada tahun 1998 ketika berusia 79 tahun.

Bapanya pula meninggal dunia pada 12 Julai 2013 pada usia 89 tahun selepas menghadapi masalah kesihatan.

Kuku besi

Hun Sen menjadi Perdana Menteri pada tahun 1985, tidak lama selepas kematian Perdana Menteri Kemboja yang mewakili CPP, Chan Sy pada tahun 1984.

Hun Sen dikatakan mengguna taktik ugutan dalam politik untuk mengekalkan kuasanya.

Menurut laporan pertubuhan bukan kerajaan Pemantau Hak Asasi Manusia, di sebalik pemerintahan kuku besi Hun Sen, beliau mendapat sokongan yang teguh daripada pengikut dan jeneral tentera.

Laporan yang dipetik daripada laman web Asian Correspondent menyebut, seramai 12 jeneral terkemuka telah menjalankan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan sistematik bagi melanjutkan pemerintahan Hun Sen yang semakin bersifat diktator.

“Selama bertahun-tahun, Hun Sen telah membentuk teras pegawai keselamatan yang melakukan kejahatan dan kekerasan.

“Kekejaman pemimpin Kemboja itu semakin jelas menjelang pilihan raya umum pada Julai lalu apabila mereka melakukan tindakan keras terhadap wartawan, lawan politik dan penunjuk perasaan antikerajaan yang secara terbuka berkempen untuk Hun Sen,” kata Pengarah Hak Asasi Manusia Asia, Brad Adams.

Dengan semua komplot Hun Sen untuk mengawal undi, persoalan siapa yang akan memerintah Kemboja sudah dijangka.

“Kemenangan tanpa pertandingan adalah tidak lengkap. Kemenangan yang tidak masuk akal ini tidak dapat menyelesaikan krisis politik yang dihadapi oleh Kemboja kesan daripada aliran kekejaman rejim pemerintahan Hun Sen selama 12 bulan yang lalu,” kata Pengasas bersama Parti Bantuan Kebangsaan Kemboja (CNRP), Sam Rainsy.

CNRP yang merupakan satu-satunya pembangkang yang layak bertanding tetapi tidak dibenarkan mengundi.

Sementara itu, seorang juruteknik, Bun Chea, 26, berkata, rakyat tidak mempunyai pilihan untuk mengundi.

“Tiada makna untuk mengundi. Ia tidak memberikan apa-apa perubahan kepada kehidupan kami,” katanya kepada The New York Times ketika melepasi pusat membuang undi di Phnom Penh.

Keraguan

Hun Sen secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja untuk penggal baharu pada 6 September lalu selepas memenangi semua 125 kerusi tanpa bertanding yang menimbulkan keraguan di peringkat antarabangsa.

Beliau mengetuai era baharu pemerintahan satu parti di Kemboja selepas pilihan raya pada Julai lalu yang dikritik negara demokrasi Barat sebagai tidak adil.

Negara Barat telah membatalkan bantuan untuk pilihan raya umum itu dengan alasan ia tidak telus manakala kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang menyifatkannya sebagai ‘pembunuhan demokrasi’.

Sebanyak 19 parti kecil dan kurang dikenali bertanding melawan parti pemerintah, CPP pimpinan Hun Sen selepas mahkamah negara itu membubarkan pembangkang utama, CNRP.

Parlimen mengundi Hun Sen sebagai Perdana Menteri secara rasmi, sekali gus membolehkan pemerintahan selama 33 tahunnya disambung selama lima tahun lagi.

Sejumlah 125 Ahli Parlimen mengundi dengan mengangkat tangan untuk mengesahkan lantikan ahli-ahli baharu kerajaan Hun Sen termasuk menteri-menteri daripada penggal terdahulu.

“Hari ini merupakan satu hari bersejarah dalam kerajaan Kemboja,” kata Hun Sen di Parlimen.

Pada penggal baharunya itu, beliau berjanji untuk menambah baik perkhidmatan awam, ekonomi dan meningkatkan pendapatan buruh serta penjawat awam.

Hun Sen dipilih sebagai Perdana Menteri Kemboja secara rasmi pada 6 September lalu, sekali gus menyambung pemerintahan selama lima tahun lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN