TUMPAT 27 Sept. – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang bakal diadakan pada 13 Oktober depan bukan tertumpu kepada soal kemenangan calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.

Ahli Biro Politik PKR, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, sebaliknya, PRK itu perlu membuktikan bahawa calon daripada parti itu mampu memperoleh majoriti yang lebih besar.
“Sesiapapun akan membuat anggaran realistik untuk memperoleh majoriti yang sihat (besar) dan berharap agar pengundi di sana bersedia memberi tempat kepada Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri kelapan.
“Sebab itu, PRK ini bukan soal kemenangan semata-mata tetapi majoriti yang sesuai untuk diperoleh Anwar bertepatan dengan kedudukannya di dalam parti,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Menaik Taraf Stesen dan Bangunan Depoh di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tumpat, di sini hari ini. –UTUSAN ONLINE











