IPOH 17 Sept. – Penguasaan Selangor dalam acara terjun tiga meter (m) papan anjal individu lelaki selama tiga edisi Sukan Malaysia (Sukma) akhirnya dilebur penerjun Sabah, Gabriel Gilbert Daim apabila merangkul emas dalam acara itu di temasya kali ke-19 di Pusat Akuatik Tuanku Zara, hari ini.
Ketiadaan Chew Yi Wei yang merupakan pemenang pingat emas dalam tiga edisi berturut-turut, selepas membuat penampilan kali terakhir di Sukma 2016, Sarawak membuka laluan buat Gabriel merangkul emas pertamanya di temasya dwitahunan berkenaan.
Dalam acara itu, Gabriel yang juga penerjun kebangsaan memenangi emas selepas mengumpul markah tertinggi sebanyak 369 mata, manakala Muhd. Syahmi Mohd. Rezal dari Selangor meraih perak (315.60) dan penerjun dari Wilayah Persekutuan, Hanis Nazirul Jaya Surya melengkapkan kedudukan podium(312)
Sementara itu, penerjun kelahiran Kota Kinabalu tersebut, mengakui bukan mudah untuk dia meraih emas ini kerana turut diberikan cabaran sengit oleh penerjun dari Wilayah Persekutuan dan Selangor.
“Gembira kerana ini emas pertama Sukma tetapi masih kurang berpuas hati dengan keseluruhan terjunan kerana yakin mampu membuat lebih baik.
“Pada terjunan ketiga tadi saya melakukan sedikit kesilapan apabila memungut markah terendah (36), buat saya sedikit kecewa,” katanya yang meraih dua perak pada penampilannya di temasya sama di Sarawak dua tahun lalu.
Dalam pada itu, bagi acara seirama platform wanita, pasangan Sarawak, Kimberly Bong dan Eilisha Rania menepati ramalan mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu.
Pasangan itu berjaya memenangi emas selepas mengumpul 274.05 mata mengetepikan pencabar terdekatnya dari Selangor, Koh Hui Yan-Lim Min (222.06) manakala gangsa milik Nur Ain Nadzmi-Nurfazriyanti Jali (213.51).










