Fahami kata-kata Dr. M - Utusan Malaysia

Fahami kata-kata Dr. M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN kali pertama rasanya Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap soal bumiputera dan yang terbaru ialah semasa Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018. Agenda bumiputera tetap menjadi isu penting yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri (PM) dari dulu lagi semasa menjadi PM yang keempat dan ketujuh sekarang ini.

Tidak pernah pun Tun Mahathir membelakangkan kemahuan kaum bumiputera cuma sehingga ke hari ini beliau masih terkilan dan tidak berpuas hati dengan pencapaian mereka.

Atas asas itulah kali ini dalam majlis kongres yang terbaru yang diadakan, Tun Mahathir meluahkan kata-kata yang berupa peringatan, sindiran dan amaran kepada bumiputera di negara ini.

Saya sebagai bumiputera yang lahir pasca merdeka dan mendapat pelbagai keutamaan dan bantuan atas status bumiputera turut membuat pemerhatian mengenai pelbagai isu bumiputera dan amat menyokong kata-kata PM kita.

Sudah sampai masanya segala bantuan sama ada dalam bentuk modal, peluang perniagaan dan biasiswa sepatutnya dikhususkan hanya kepada mereka yang betul-betul layak dan ada komitmen yang tinggi.

Oleh itu kajian mendalam tentang golongan atau individu sasaran yang akan menerima sebarang bantuan mestilah dikaji sebaik-baik mungkin oleh pihak kerajaan. Tidak sepatutnya peluang perniagaan seperti AP atau kontrak diberi kepada orang yang tidak serius berusaha dalam perniagaan.

Begitu juga biasiswa bukan diberi kepada anak orang yang sudah stabil kehidupannya atau kaya tapi diberi kepada pelajar yang betul-betul mempunyai masalah kewangan dan disyaratkan mesti mengekalkan tahap pencapaian yang cemerlang semasa belajar.

Dengan cara ini bantuan kerajaan akan menjadi serampang dua mata; bukan sekadar bantuan untuk menyelesaikan masalah semasa tetapi pada masa yang sama menjadi asas untuk perkembangan kaum bumiputera dalam segala bidang seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Sepatutnya generasi pertama dalam keluarga bumiputera yang menerima bantuan kerajaan dapat mengembangkan perniagaan atau mempunyai kerjaya yang baik untuk berdikari bagi generasi seterusnya. Tiada lagi kebergantungan berterusan setiap generasi kepada bantuan atau tongkat kerajaan.

Yang diberi lesen, kontrak atau modal perniagaan mesti belajar selok-belok dan bekerja kuat supaya berjaya dan menjadi kaya. Para pelajar yang mendapat biasiswa kena belajar sungguh-sungguh untuk menjadi pakar yang hebat dalam bidang masing-masing.

Dengan cara ini barulah bumiputera boleh maju. Maka diharapkan bumiputera hanya minta bantuan kerajaan sekali sahaja dan peruntukan kerajaan pada masa depan boleh diberi kepada keluarga bumiputera lain pula.

Elok sangatlah kalau Tun Mahathir menyindir dan mengambil tindakan keras menarik balik segala bantuan kepada golongan bumiputera yang jual AP atau kontrak untuk kaya cepat, berjoli berbelanja dan kemudian tadah tangan lagi minta bantuan.

Kaum bumiputera mesti berasa malu dengan tabiat buruk ini dan mereka perlu menyimpan hasrat untuk berjaya dengan sekali bantuan sahaja sebagaimana kaum lain yang langsung tidak menerima bantuan tapi meningkat dengan usaha sendiri secara berperingkat.

Fikir-fikir dan kajilah kata-kata PM kita, Tun Mahathir.

ZULKIFLI Z ABIDIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN