Eugenius, Azreen atlet terbaik - Utusan Malaysia

Eugenius, Azreen atlet terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Atlet memanah Sabah, Eugenius Lo Foh Soon dan ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail menyerahkan trofi kepada Eugenius dan Azreen pada majlis penutupan rasmi Sukma 2018 tersebut.

Eugenius, 17, berasal dari Kota Kinabalu berjaya meraih tiga pingat emas dan mencipta rekod kebangsaan dalam acara memanah 30 meter compound lelaki dengan catatan 360 mata sekali gus menyamai rekod milik M. Khambeswaran dari Pulau Pinang ketika melakukannya pada Sukma ke-18 di Sarawak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Eugenius berjaya mencatat 360 mata iaitu jumlah maksimum yang perlu dilakukan oleh atlet untuk rekod kebangsaan. Dia juga meraih dua pingat emas menerusi acara 70m compound dan 50m compound.

Pelajar Sekolah Tinggi Kota Kinabalu itu berkata, dia tidak pernah terfikir menjadi Olahragawan kerana faktor usia masih muda dan beranggapan lebih ramai atlet kebangsaan lain turut cemerlang dalam sukan masing-masing pada Sukma kali ini.

“Sejujurnya, saya masih terkejut dengan kejayaan ini. Tidak pernah sangka akan terpilih menjadi Olahragawan. Saya tujukan kejayaan ini kepada negeri Sabah, jurulatih dan pasukan memanah Sabah di samping keluarga yang menyokong saya selama ini.

“Saya mula berkecimpung dalam sukan memanah pada usia 12 tahun. Jurulatih adalah pakcik saya, (Gabriel Liew) yang memperkenalkan sukan ini kepada saya. Edisi dua tahun lalu di Sarawak merupakan penampilan pertama saya pada Sukma dan saya hanya menyumbang pingat perak dalam acara compound berpa­sukan lelaki,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Sementara itu, Azreen yang merupakan atlet pelapis kebangsaan cemerlang apabila merangkul tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m.

Lebih membanggakan, Azreen memperbaharui rekod Sukma dalam acara 100m iaitu 11.81s, selepas 10 tahun dipegang atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad yang melakukan catatan 11.82s pada Sukma 2008 di Terengganu.

“Alhamdullilah, syukur de­ngan kejayaan pada Sukma 2018. Saya tidak jangkakan kemenangan ini dan kejayaan ini adalah untuk arwah bapa saya (Alias Che Ngah). Arwah hanya sempat mengikuti perkembangan saya dalam olahraga pada Sukma 2014 di Perlis.

“Ketika itu tidak ada apa yang dapat saya banggakan kepadanya. Kalau ayah masih ada, mesti dia gembira. Kemenangan ini juga untuk ibu saya Khadijah Ali,” katanya.

Azreen Nabila berkata, kejayaan ini menyuntik semangatnya untuk lebih cemerlang terutamanya dalam persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan di Filipina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini