Elemen klasik, moden bersatu - Utusan Malaysia

Elemen klasik, moden bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sesuatu yang mewah dan elegan tidak semestinya tampil keterlaluan. Setiap rekaan perlu menampilkan sentuhan anggun, indah dan eksklusif lebih-lebih lagi digayakan pada hari perkahwinan. Rekaan yang ditampilkan perlu mengenengahkan keselesaan, perincian dan kualiti untuk ratu sehari.

Tampil mewah dengan harga serendah RM200, setiap koleksi Demelza kelihatan selesa dari segi potongan, jahitan serta bahan yang diolah. Dominasi fabrik renda yang lembut melambai-lambai dengan kesan elegan dipersembahkan dalam koleksi tersebut. Bahan renda yang menjadi pilihan pereka juga menjadikan busana tampak selesa digayakan.

Selain renda, Demelza tidak melupakan fabrik kebanggaan tempatan dan akrab dengan busana pengantin iaitu songket. Ilham untuk koleksi songket kali ini hadir dengan perincian dan potongan yang lebih moden.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pereka turut memadankan songket dengan fabrik renda untuk gaya lebih elegan. Koleksi tersebut tampak indah dan tidak keterlaluan. Biarpun pada fabrik polos kesan mewah terpancar lewat kesan perincian yang menghiasi busana pengantin tersebut.

Pereka bijak dalam mengindahkan busana dengan perincian yang sarat atau ringkas. Setiap perincian yang berupa seni kerja tangan tampak teliti dan kemas daripada sulaman manik dan labuci.

Ia secara tidak langsung menambah gaya mewah pada busana. Koleksi pakaian pengantin itu diterjemahkan dalam busana berpotongan sederhana namun masih menonjolkan perincian yang cantik.

Gaya gaun kembang dikenali sebagai potongan belimbing semakin digemari sepanjang tahun ini.

Pengaruh pakaian tradisional masih kuat dalam koleksi Demelza melalui potongan pakaian yang dipadankan dengan sentuhan lebih moden melalui hiasan perincian dan ketelitian.

Potongan baju kurung dan kebaya menjadi pilihan pereka untuk koleksi tersebut. Apa pun ratu sehari tampak lebih moden dan anggun dengan kesan modifikasi pada potongan tersebut.

Pengasas Butik Pengantin Demelza, Noraiha Rais berkata, meskipun disajikan dengan pelbagai rekaan moden, masih ramai pengantin gemarkan busana menggunakan fabrik songket dan broked untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka.

“Ia seperti kembali ke zaman dulu. Namun, perkara yang membezakan dari segi rekaan persalinan yang kini sudah diubah bersama kombinasi lakaran klasik dan moden pada busana.

“Kebiasaannya, fabrik songket digabungkan bersama sifon untuk menonjolkan rekaan kontemporari. Misalnya, gabungan fabrik sifon dan songket yang bermotifkan bunga timbul tampak menarik digandingkan bersama potongan gaun kembang duyung.

“Konsep moden dapat dilihat daripada penambahan renda dan elemen perincian manik, batu atau bunga pada persalinan untuk menjadikan rekaan tampak lebih anggun,” katanya pada majlis pelancaran butik Demelza di No-51-1, Jalan SR 4/1, Saujana Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini