KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung penemuan satu dron atau pesawat udara kawalan jauh berhampiran bangunan kompleks Cawangan Khas, Bukit Aman pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah (gambar kecil) berkata, siasatan itu dibuat untuk mengesan pemilik dron berkenaan dan bagaimana alat tersebut dalam kawasan Bukit Aman.
“Buat masa ini kita belum mengetahui siapa pemilik dron dan siasatan sedang dijalankan untuk membolehkan pihak kami mengesan pemiliknya serta mengetahui bagaimana dron berkenaan boleh berada dalam kawasan Bukit Aman,” kata beliau semalam.
Menurut beliau, kes penemuan dron itu disiasat di bawah Seksyen 143(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan awam 2016 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.










