KUALA LUMPUR 27 Sept.– Tindakan Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan selepas empat bulan dipilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson menunjukkan beliau lebih mengutamakan kepentingan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding pengundi yang memilihnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.
Alasan Danyal meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat itu didakwa telah memungkiri amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi kepadanya.
Peletakan jawatan itu juga menunjukkan Danyal lebih mementingkan kesetiaannya kepada Anwar dan tindakannya itu bertentangan dengan kehendak pengundi dan tidak bona fide (niat baik), bermotifkan politik dan bertentangan dengan polisi awam serta bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara tersebut terkandung dalam permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman seorang pengundi pada PRU-14, 9 Mei lalu, Rosmadi Mohd. Kassim untuk mendapatkan perintah membatalkan notis mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ahli Dewan Rakyat bagi Negeri Sembilan bertarikh 20 September lalu yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Rosmadi selaku pihak pemohon memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi di sini semalam melalui firma guaman Tetuan Raja Riza & Associates dengan menamakan Danyal responden pertama dan SPR responden kedua.









