JIKA kebiasaannya, program-program dakwah di televisyen memaparkan program berkonsepkan bual bicara, namun berbeza pendekatan yang digunakan dalam rancangan terbaharu berjudul Door To Door Ebit Lew.
Ini kerana, program tersebut mengetengahkan konsep dakwah jalanan yang lebih santai dalam mendekati golongan sasaran antaranya termasuklah mat rempit, budak punk, mak nyah dan juga orang gelandangan.
Disiarkan di saluran Astro Oasis, program yang memaparkan kisah realiti masyarakat yang berlaku di sekeliling itu dikendalikan oleh penceramah popular dengan kisah penghijrahannya sebelum ini iaitu Ebit Lew.
Bagi penerbit eksekutifnya, Aidid Marcello, program tersebut dilihat merupakan sesuatu yang cukup menarik kerana setiap kandungan yang dipaparkan kepada masyarakat bukanlah sesuatu yang mengikut skrip, sebaliknya dirakamkan secara spontan.
“Penonton berpeluang melihat sendiri bagaimana Ebit mendekati golongan tersebut untuk menyampaikan dakwahnya. Ia dirakam secara spontan dan bukanlah dalam bentuk lakonan.
“Bahkan, penggambaran juga dilakukan mengikut kesesuaian waktu apabila Ebit turun padang untuk bertemu golongan sasaran tersebut bukanlah mengikut apa yang dijadualkan. Apa yang ada di lokasi, itulah yang pihak produksi paparkan,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Menurut Aidid, pendekatan Ebit dalam program yang ditayangkan selama 30 minit pada setiap episod itu dilihat cukup unik membuatkan penonton berpeluang mendengar sendiri isi hati dan jalan cerita hidup mereka.
“Biasanya kita perhatikan, orang lebih suka menghukum golongan tersebut. Bagaimanapun, dalam program ini kita bawakan perspektif berbeza di mana kita dapati mereka rela bercerita tanpa rasa malu mengenai kehidupan mereka.
“Ia lebih kepada perkongsian cerita hati ke hati yang mana mereka ini sebenarnya juga mencari jalan untuk berubah ke arah yang lebih baik,” kongsinya.
Jelas Aidid lagi, proses rakaman secara spontan itu juga menjadi lebih mudah kerana golongan sasaran sudah biasa dengan kehadiran Ebit Lew sebelum ini.
“Beliau sudah melakukan aktiviti berdakwah kepada golongan yang sering dipinggirkan itu sebelum ia dibawa ke kaca televisyen lagi.
“Lagipun dengan latar belakang Ebit sendiri sebenarnya membuatkan golongan sasaran itu berasa lebih dekat kerana beliau sendiri menjadi contoh terbaik dengan kisah perjalanan hidupnya sebelum ini,” kongsinya.
Menurut Aidid lagi, program tersebut bakal bersiaran selama 11 episod yang sudah memulakan proses penggambaran kira-kira sebulan lalu.
“Kita ada lima episod lagi yang masih belum selesai proses penggambaran. Memandangkan ia dirakam secara spontan, jadi apabila Ebit mahu turun padang, barulah pihak produksi turut serta merakamkan momen itu.
“Program ini tidak ada istilah untuk reshoot (penggambaran semula) kerana semuanya realiti.
“Pemilihan tajuk setiap episod juga mengikut cadangan Ebit sendiri termasuk mengenai siapakah golongan yang ingin didekatinya dalam menyampaikan dakwah,” katanya yang memberitahu, program itu sudah mula ditayangkan setiap Sabtu pada pukul 7 malam sehingga 24 November ini.
Antara kisah yang dibawakan termasuklah Harapan Transgender, Punk Duniaku, Penghijrahanku, Kisah Penghuni Kaki Lima, Rempit Ibu Kota dan Islam Itu Indah.











